Sumber: Utusan Online
JOHOR BAHRU - Mohd. Nazmi Faiz Mansor, 19, masih belum bersedia
menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana terdapat banyak
perkara yang perlu diselesaikannya buat masa sekarang.
Beliau yang baru mengikat kontrak selama tiga tahun bersama pasukan
Liga Super, PKNS itu bagaimanapun tidak mahu menjelaskan secara
terperinci mengenai masa sesuai untuk beliau menghadapi SPM.
"Setakat ini saya belum lagi bersedia untuk mendudukinya kerana banyak perkara yang perlu diambil kira.
"SPM bukannya boleh dipandang ringan, ia perlukan persediaan yang
rapi," ujarnya ringkas ketika ditemui sejurus mengharungi perlawanan
persahabatan antara PKNS menentang Johor yang berkesudahan 0-2 di
Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, semalam.
Mengulas aksi pertamanya bersama kelab tersebut, Nazmi mengakui masih belum menemui rentaknya yang sebenar.
Katanya, banyak aspek yang perlu dipertingkatkan terutama keserasiannya bersama pemain lain.
"Saya perlukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini.
"Beri saya sedikit masa, apabila sudah serasi, insya-Allah semua akan okay," tambahnya.
Bagaimanapun, Nazmi masih tidak mahu mengulas lanjut mengenai kepulangannya daripada mewakili kelab Portugal, S.C Beira-Mar.
Sementara itu, dalam aksi perlawanan persahabatan tersebut, kemasukan
Nazmi pada babak kedua perlawanan tersebut nyata tidak memberi sebarang
impak terhadap permainan kedua-dua pasukan.
Johor yang terlebih dahulu memulakan asakan tampak gagal pada separuh
masa pertama apabila gagal menyempurnakan dengan tepat peluang-peluang
yang dihasilkan.
Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan hampir menyebabkan gawang
tuan rumah bolos pada minit ke-27 apabila pemain import pelawat, Patrick
Welh Ronaldinho melakukan percubaan solo dengan tendangan padu terus ke
pintu gol tetapi berjaya ditepis penjaga gol Harimau Selatan, Mohd.
Fazli Paat.
Enggan kalah di laman sendiri, Johor hampir berjaya memecah kebuntuan
pada minit ke-30 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh
pemain import Johor, Juan Muriel Orlando, namun tersasar.
Gol pertama Johor hadir pada minit ke-49 hasil sepakan dari Juan
Muriel Orlando, dan 10 minit kemudian, Orlando mengesahkan kemenangan
tuan rumah apabila sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran lintang
Mohd. Rashid Aya.
Sehingga tamat perlawanan, Nazmi yang diharapkan ternyata gagal
mencipta sebarang jaringan dan ia menyaksikan Johor menang 2-0 ke atas
PKNS.
No comments:
Post a Comment