Sumber: Metro Online
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengaku pemain import Nigeria,
Dickson Nwakaeme mempunyai bisa tersendiri selepas menundukkan Felda
United, 2-0 pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota
Bharu, kelmarin.
Dickson, 27, yang bermain di posisi penyerang mendapat perhatian
peminat The Red Warriors (TRW) apabila mengancam kubu lawan, malah
mengatasi seorang lagi pemain import dari Guinea, Keita Mandjou yang
kini membantu pasukannya dalam kancah Liga Malaysia.
Hodak berkata, Nwakaeme mempunyai kemahiran mengawal bola dalam kawasan lawan selain dapat membuka ruang kepada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 43 tahun dari Crotia itu berkata,
tiada perubahan pemain berlaku, sebaliknya perlawanan persahabatan itu
hanya untuk menguji kecergasan Nwakaeme dan seorang lagi pemain dari
Perancis, Salim Arrache.
Kelantan memperoleh jaringan pertama pada minit ke-33 menerusi Salim sebelum gol kemenangan dijaringkan pemain berpengalaman, Indraputra Mahayuddin pada minit ke-72 yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti bagi menewaskan penjaga gawang lawan, Mohd Helmi Eliza Elias.
“Nwakaeme nampak berbahaya dan kuat. Dia boleh mengawal bola dengan baik dalam kawasan lawan serta boleh melakukan percubaan.
“Bagaimanapun tiada perubahan pemain setakat ini. Semuanya bergantung
kepada pengurusan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan
itu.
Sementara itu, ketua jurulatih Felda United, K Devan berkata, pasukannya masih mencari pemain terbaik untuk digandingkan dengan penyerang Lubnan, Mohd Ghaddar.
Selain itu, Devan turut merancang mengadakan satu lagi perlawanan
persahabatan berdepan sama ada Pahang atau naib juara Piala FA musim
lalu, Sime Darby FC hari ini.
“Kami masih perlu bekerja keras bagi menajamkan jentera serangan selain mencari gandingan terbaik buat Ghaddar. Bahagian pertahanan juga masih ada kelemahan yang perlu dibaiki,” katanya.
No comments:
Post a Comment