Sumber: Metro online
Doha: Corak permainan pantas menjadi taruhan skuad Harimau Malaya
untuk mencipta kejutan ke atas Qatar bagi aksi pembukaan Kumpulan D
kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam ini.
Atas kertas, tampak mustahil buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal
untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada aksi di Stadium Jassim
Bin Hamad yang mempunyai kapasiti 22,000 penonton itu tapi bagi
penyerang, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, agak terlalu awal untuk membuat
kesimpulan.
Khyril, 25, yang kini menjadi tonggak utama selepas ketiadaan Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yakin corak permainan pantas boleh menghukum tuan rumah.
“Kami perlu melakukan serangan balas pantas apabila berdepan Qatar.
Setiap peluang yang dicipta perlu digunakan sebaik-baiknya. “Kami tidak
tertekan sebaliknya mereka pasukan pilihan dan bermain di tempat
sendiri yang akan merasai tekanan,” katanya selepas sesi latihan skuad
kebangsaan di padang Kompleks Sukan Aspire, Doha semalam.
Penyerang Kedah itu yang bergandingan dengan Mohd Amri Yahyah ketika Malaysia tumpas 0-3 di tangan Iraq pada aksi pemanas badan di Dubai, Jumaat lalu juga mengingatkan rakan sepasukan dapat menutup setiap pergerakan pemain skuad Al-Annabi (The Maroon).
“Kelebihan kami laju, kalau nak lawan fizikal pemain Qatar memang sukar. Kami cuba main bola rendah dan buat satu-dua sentuhan. “Jangan bagi ruang kepada mereka, mana-mana pemain hebat sekalipun, kalau tak bagi ruang pasti tidak boleh bermain dengan baik,” katanya yang menjadi penyerang tunggal skuad Piala AFF 2012 dibawa ke Doha.
Selain Khyril, Rajagobal turut memiliki penyerang veteran, Amri,
Abdul Hadi Yahya dan penjaring terbanyak Liga Super, Fauzi Rozlan untuk
diturunkan pada perlawanan malam ini.
No comments:
Post a Comment