Saturday, February 16, 2013

Selangor gah!

Sumber: Metro Online
 
Usaha Kelantan mempertahankan kejuaraan Liga Super semakin goyah apabila hingga kini hanya mencatatkan satu kemenangan selepas mengharungi enam perlawanan.

Terbaru, skuad kendalian Bojan Hodak itu tewas kepada Selangor 0-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk kekal di pertengahan liga dengan meraih enam mata.

Sebaliknya Selangor muncul pendahulu baru Liga Super dengan mengumpul 13 mata, meninggalkan Pahang (12) dan Angkatan Tentera Malaysia (10) yang akan turun beraksi malam ini.

Pada perlawanan disaksikan kira-kira 25,000 penonton itu, pelawat jelas pincang tanpa kehadiran perancang tengah dan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi yang hanya masuk sebagai pemain gantian pada awal babak kedua.

Kelekaan pemain Kelantan terutamanya di barisan pertahanan yang diketuai pertahanan import dari Nigeria, Obinna Nwaneri nyata membawa padah apabila membiarkan pemain tuan rumah meledak dua gol pada separuh masa pertama.

Francis Forkey Doe meledak gol pertama apabila melonjak tinggi untuk menyambut hantaran silang yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-13. Selepas itu giliran Ramez Dayoub pula menggandakan kedudukan apabila menanduk masuk sepakan percuma Mahali Jasuli pada minit ke-26.

Ketumpulan jentera serangan nampaknya masih menghantui Kelantan apabila penyerangnya termasuk Keita Mandjou gagal mempamerkan penyudahan tajam di samping mempersia-siakan beberapa peluang keemasan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...