Sumber: Metro Online
Kuala Lumpur: Perancang tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh boleh
menarik nafas lega andai tidak perlu bersaing dengan kapten Kelantan,
Mohd Badhri Radzi (Piya) untuk menguasai bahagian tengah pada pertemuan
kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Jeneral tengah Kelantan itu dilapor baru pulih daripada demam dan
mungkin tidak diturunkan pengendali, Bojan Hodak untuk perlawanan Liga
Super itu.
“Dia seorang pemain berbahaya yang merencanakan serangan pasukan. Andai benar dia tidak beraksi, ia mungkin memberikan sedikit keyakinan kepada saya untuk menguasai bahagian tengah, namun Kelantan tetap tidak boleh dipandang rendah,” kata bekas pemain Terengganu itu .
Menurutnya, pemain Merah Kuning turut perlu mengambil kesempatan atas
persembahan tidak konsisten yang dipamer juara tiga piala musim lalu
itu.
Kelantan yang juga juara bertahan Liga Super kini menghuni tangga ketujuh liga selepas meraih hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan berbanding Selangor yang berada di kedudukan ketiga dengan tiga kemenangan.
“Tidak perlu terlalu hormati mereka kerana kejuaraan diraih sudah berlalu. Malah pasukan itu sudah melakukan perubahan pemain musim ini. Kami perlu memberikan aksi seratus peratus di depan penyokong sendiri tanpa terlalu menghiraukan lawan,” kata Abdul Shukor.
Abdul Shukor yang bergandingan dengan S Veenod menerajui jentera
tengah tampak semakin serasi dan menganggap Selangor kini berada di
landasan tepat untuk terus mencatat kemenangan walaupun berdepan jadual
padat termasuk saingan Piala AFC penghujung bulan ini.
“Keseluruhan pasukan nampaknya semakin meningkat. Malah Francis Forkey Doe sudah mula menemui sentuhan jaringan seperti musim lalu, satu perkembangan yang bagus untuk kami terus menggegar gawang lawan,” katanya mengenai bekas rakan sepasukan di Terengganu yang bergelar penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu.
No comments:
Post a Comment