Sumber: Utusan Online
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
memasang impian untuk melamar penyerang utama Burkina Faso, Aristide
Bance, 28, yang baru sahaja membantu negaranya menjadi naib juara Piala
Negara-Negara Afrika, semalam.
Menurut sumber dalaman KAFA, nama pemain itu telah disebut sendiri
oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam mesyuarat, baru-baru ini.
Bance, yang dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast dan berpindah ke
Burkina Faso sejak kecil kini masih mempunyai kontrak selama tiga tahun
bersama kelab FC Augsburg yang beraksi dalam Bundesliga.
Sumber tersebut memberitahu, pemain berkenaan juga sebelum ini pernah
beraksi untuk kelab Al Ahli dari Dubai dan FC Mainz 05 dari Jerman
antara tahun 2008 hingga 2010 serta menjaringkan 28 gol daripada 72
penampilan.
Bance yang dilaporkan menerima gaji RM110,000 sebulan bersama FC
Augsburg turut diturunkan ketika Burkina Faso tewas 0-1 pada perlawanan
akhir Piala Negara-Negara Afrika menentang Nigeria di Soccer City.
Annuar sebelum ini melalui laman sesawang Facebook pernah menyatakan
minat terhadap seorang lagi pemain import dari Togo, Moustapha Salifou,
29 yang kini sedang beraksi bersama FC Saarbrucken dalam Divisyen Tiga
Jerman.
Sementara itu, Annuar dalam satu sidang akhbar semalam membayangkan
kemungkinan untuk merombak pasukannya terutama pemain import bagi
memastikan kemasukan pemain-pemain import baharu.
"Jika kita bawa masuk dua pemain baharu, bererti dua daripada empat
pemain yang ada sekarang kena keluar. Itu kita akan buat secara
rundingan. Sama ada empat bermain untuk Piala AFC dan dua untuk Liga M
atau hanya kekalkan empat pemain (dua untuk Piala AFC dan dua untuk Liga
M) dan dua dilepaskan (tamatkan kontrak) itu kita akan putuskan nanti,"
katanya.
Kelantan ketika ini mempunyai empat pemain import, Obinna Nwaneri,
Keita Mandjou, Dimi Pertratos, Lek Kcira dan sedang menguji dua lagi
pemain, Salim Arrachi dan Dickson Nwakeami.
No comments:
Post a Comment