Friday, February 1, 2013

Faizul, Petratos berlatih bersama Blackburn


Sumber: Utusan Online

KOTA BHARU - Penyerang muda Australia, Dimitrios Petratos yang beraksi bersama Kelantan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 akan ke England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Blackburn Rovers.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, ketua pasukan Piala Presiden, Faizul Nazlin Sayuti juga turut bersama Petratos bagi menjalani latihan tersebut dan hanya kembali semula bersama pasukan pada Mac ini untuk menghadapi saingan AFC.

Menurutnya, ia adalah sebahagian bentuk kerjasama antara KAFA dengan Blackburn sebagai langkah untuk memantapkan lagi pasukan Kelantan mengharungi saingan musim ini.



"Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pengawai Eksekutif The RedWarriors.com, Kelvin Ramalingam. Sepanjang berada di sana Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn.

"KAFA berharap, latihan tersebut akan meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama pasukan untuk saingan Piala AFC nanti. Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk memantapkan corak permainan dan kemahirannya," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad IV melibatkan pertembungan antara Juara Liga Super Malaysia, Kelantan dengan Juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.

Pada majlis tersebut juga Annuar turut memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu Salim Aracche.

Selain Aracche, Kelantan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme yang akan bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira, di posisi pertahanan.

Mengulas mengenai perlawanan Piala Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor Acheh, baru-baru ini.

"Perlawanan ini merupakan medan terbaik buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan. Mereka (lawan) sebuah pasukan yang hebat, dan kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh, baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...