Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR - Pemain negara yang beraksi dalam
liga Portugal, Ahmad Fakri Saarani mungkin kembali beraksi dalam liga
tempatan jika kelab yang diwakilinya gagal naik ke divisyen dua.
Namun, pengurus peribadi pemain itu, Faisal Zakariah berkata, perkara
itu akan terjawab sebulan lagi sebelum Fakri yang mewakili Atletico
Sport Clube Reguengos membuat keputusan muktamad.
Dikhabarkan juga pemain kelahiran Kelantan itu turut mengintai
peluang beralih angin ke liga negara jiran, Thailand jika mendapat
tawaran.
Menurut Faisal, memandangkan divisyen tiga portugal hanya akan tamat
pada penghujung Mac, Fakri berkata mahu fokus terlebih dahulu bersama
Atletico S.C dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
"Fakri masih belum sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama
kelabnya kerana dia masih mempunyai masa sehingga penghujung Mac.
"Jika kelabnya gagal naik ke divisyen dua, tidak mungkin dia akan
kekal. Ketika itu dia bersedia mendengar tawaran daripada mana-mana
pasukan lain yang berada dalam divisyen yang lebih baik di Portugal.
"Ada sebuah kelab dari Indonesia berminat untuk mendapatkan khidmat
Fakri tetapi dia menolaknya memandangkan situasi bola sepak di Indonesia
masih tidak menentu.
"Memang benar dia ada menerima tiga tawaran dari pasukan Liga Super
(Malaysia) namun keutamaan Fakri adalah mahu kekal di Portugal untuk
menimba lebih banyak pengalaman di sana, " katanya ketika dihubungi,
semalam.
Berdasarkan penjelasan Faisal, hakikatnya sukar untuk Atletico S.C mengharungi saingan play-off untuk ke divisyen 2.
Tambahan pula kelab memerlukan jumlah tajaan tertentu untuk bermain dalam divisyen dua.
"Hanya pasukan tertentu sahaja mempunyai kemampuan untuk beraksi
dalam divisyen dua kerana mereka sudah mempunyai tajaan sendiri.
"Sekali pun Atletico S.C melepasi pusingan play-off, mereka mungkin masih tidak dapat beraksi dalam divisyen dua kerana masalah kewangan," katanya.
Fakri yang menandatangani kontrak selama enam bulan bersama Atletico
S.C sejak Januari lalu, membuat lima penampilan dengan beraksi selama 90
minit perlawanan.
Walaupun belum tidak menjaringkan sebarang gol, dia mempamerkan aksi
cemerlang dengan bertindak menjadi perancang kepada beberapa jaringan
Atletico S.C.
No comments:
Post a Comment