Saturday, February 16, 2013

Penyu pecah badi

Sumber: Metro Online
 
Terengganu melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas menundukkan Perak, 2-0 di laman sendiri petang semalam.

Lebih manis, pasukan Penyu yang hanya sekadar mencatat dua keputusan seri dan kalah tiga kali sebelum ini meraih gol pertama seawal minit ke-12 hasil jaringan Muhammad Ashari Shamsuddin.

Bagaikan mendapat tonik baru selepas kecewa dalam lima perlawanan sebelum ini, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah terus bergema apabila awang import Effa Owana meledak gol kedua sebaik babak kedua bersambung dengan menewaskan penjaga gawang skuad Seladang Mohd Farizal Marlias.


Perlawanan yang bermula agak hambar pada mulanya kian rancak dengan aksi berbalas serangan yang ditampilkan kedua-dua pasukan biarpun terpaksa bermain dalam hujan pada separuh masa kedua.

Meskipun terpaksa berhempas pulas selepas ketinggalan dua gol, pasukan Seladang yang diketuai Muhd Shahrom Abd Kalam mempamerkan aksi mantap dengan beberapa cubaan di depan gol oleh pemain import Karim Rouni dan Abd Hadi Yahaya.

Pertarungan sengit itu turut dicemari insiden pemain Terengganu, Ismail Faruqi Ashari dan pemain Perak, Muhd Nazri Kamal dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed selepas berlaku pertengkaran pada minit ke-90.

Sementara itu, pengendali Terengganu, E Elavarasan nyata puas hati dengan prestasi anak buahnya yang menduduki tangga terbawah liga selepas hanya mengutip dua mata apabila berjaya menamatkan perlawanan dengan cemerlang dan memungut tiga mata penuh.

“Saya bangga dengan persembahan yang dipamerkan pemain sekali gus berjaya memperbaiki kedudukan.

“Kemenangan ini menjadi pembakar semangat buat kami untuk menentang Angkatan Tentera Malaysia selepas ini,” katanya.

Dalam nada merendah diri, Elavarasan meminta anak didiknya terus konsisten untuk perlawanan akan datang kerana saingan seterusnya pasti lebih sengit.

Menurutnya, beliau juga puas hati dengan prestasi Owana yang bijak mencari peluang menjaringkan gol dan bermain sebagai satu pasukan serta tidak bergerak solo.

Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor pula akur dengan kekalahan di tangan Terengganu dan mengaku pemainnya banyak melakukan kesilapan.

“Biarpun mempunyai banyak peluang, pemain gagal melakukan penyudah sempurna,” katanya.

Mohd Azraai bagaimanapun memberi jaminan pasukannya akan berusaha gigih memperbaiki prestasi sebelum turun menentang Pahang selepas ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...