Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR - Tidak ada apa yang perlu dirisaukan buat pemain sayap Harimau Malaya, Azamuddin Md. Akil, malah dia mengakui sudah bersedia menjelang pertemuan dengan Qatar dalam perlawanan pembukaan Kelayakan Piala Asia 2015, Rabu ini.
Bagaimanapun, Azamuddin atau terkenal dengan gelaran 'Alex', perlu menghadapi juara Piala Asia 2007, Iraq dalam perlawanan persahabatan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malam ini.
Pemain kelahiran Kuala Lipis itu berjanji untuk memperagakan aksi terbaik dalam kedua-dua perlawanan tersebut selepas melihat persiapan yang dilakukan oleh skuad Malaysia berjalan lancar walaupun dihimpit masalah kecederaan.
"Selain diri sendiri, saya juga melihat prestasi pemain yang ada sekarang amat baik sekali. Kami memang bersungguh-sungguh untuk memberikan permainan yang baik dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 Australiam," katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin.
Ketiadaan pemain sayap lain seperti S. Kunanlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor, memberi ruang buat Azamuddin beraksi dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan Singa Mesopotamia malam ini.
Pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM Ahad lalu, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal meletakkan Azamuddin dalam skuad utama dengan menggalas tugas sebagai pemain sayap kiri manakala Nor Farhan Muhammad di sayap kanan.
"Mengenai ketiadaan pemain sayap utama seperti Kunanlan dan Wan Zack, saya rasa tidak ada masalah buat kami, malah Nor Farhan dan Fauzi Roslan juga mampu beraksi di bahagian tersebut, apa yang penting kami cuba buat yang terbaik.
"Saya rasa pasukan yang ada sekarang ini seimbang, tidak ada masalah sangat bagi setiap posisi, kebanyakan yang tidak bermain di Piala Suzuki AFF 2012 dipanggil semula, mereka sebelum ini juga pernah beraksi dengan skuad kebangsaan," kata pemain berusia 27 tahun itu.
Azamuddin juga mengakui bahawa tahap pemain yang ada sekarang ini semuanya sama dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Dia juga berasa teruja kerana kali pertama akan beraksi dalam kelayakan Piala Asia.
No comments:
Post a Comment