Saturday, February 16, 2013

Del Nero kembali!

Sumber: Metro Online
 
Pemain import Johor Darul Takzim, Simone Del Nero akan diturunkan sebagai pemain utama selepas pulih daripada kecederaan apabila melayani kunjungan T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Del Nero yang tidak beraksi pada empat perlawanan lalu termasuk saingan Piala FA sebelum saingan liga elit domestik berehat selama tiga minggu, pulang ke Itali bagi mendapat rawatan kecederaan yang dialami dan kini sudah cergas sepenuhnya dan bersedia diturunkan menentang skuad bimbingan Peter Butler.

Perkhabaran itu menggembirakan pengendali skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad selepas terpaksa merombak pertahanannya kerana terpaksa melupakan khidmat Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengalami kecederaan selepas aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, Qatar.

“Simone sudah cergas dan saya tidak teragak-agak menurunkannya dalam kesebelasan utama bagi menguatkan posisi tengah bergandingan bersama Safiq Rahim namun perubahan taktikal perlu dilakukan selepas Aidil Zafuan tidak dapat beraksi.

“Tempat Aidil Zafuan bakal diganti Ahmad Tharmimi Saiban yang beraksi konsisten sepanjang aksi persahabatan dan dia akan bergandingan bersama Muslim Ahmad bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

“Zaquan Adha Abd Radzak juga tidak tersenarai dalam skuad Harimau Selatan kerana masih dibelenggu kecederaan dan saya agak terkilan selepas masih belum mampu menurunkan barisan mantap sejak saingan liga bermula akibat tonggak utama mengalami kecederaan,” katanya.

Apapun, Fandi tetap optimis aksi di laman sendiri mampu menjelmakan keceriaan andai pemain sedia ada mengikut arahan tanpa membuat kesilapan mudah tatkala T-Team yang diperkuat kehadiran dua tenaga import, George Boateng dan Caleb Forlan mampu menidakkan impian memburu kemenangan.

Kehadiran semula Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menguatkan jentera serangan menjadi taruhan terbaik buat skuad Harimau Selatan tatkala bergandingan bersama bintang Sepanyol, Daniel Guiza menggempur benteng skuad Titans.

“Saya mahu pemain bersikap positif dan memberi sepenuh tumpuan tanpa membuat kesilapan mudah kerana kami tidak harus mensia-siakan peluang terbaik mencipta kemenangan di laman sendiri.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...