Thursday, February 14, 2013

Usah pertikai pemergian ke Jepun

Sumber: Utusan Online
 
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad Bawah 23 negara, Ong Kim Swee berkata pemergian dua pemain muda, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria ke kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu tidak perlu dipertikaikan.

Ini ekoran ada yang berpandangan pemergian mereka ke sana bukanlah langkah yang bijak kerana FC Ryukyu yang berstatus pasukan amatur.

Sebaliknya Kim Swee menganggap pemergian kedua-dua pemain berkenaan tetap langkah yang tepat buat para pemain mencari tapak permulaan beraksi di pentas antarabangsa.


Kim Swee menjelaskan mutu bola sepak liga di Jepun jauh berbeza dengan negara ini biarpun hanya beraksi dalam Divisyen 3 setelah mendapat penjelasan daripada kedua-dua bintang Harimau Muda A itu yang pernah menjalani latihan selama dua minggu di sana pada tahun lalu.

"Saya tidak bersetuju jika ada orang beranggapan pemergian dua pemain kita ke FC Ryukyu adalah satu langkah yang tidak memberikan sebarang makna, hanya kerana saingan Divisyen 3 Jepun berstatus amatur.

"Wan Zack dan Wan Zaharulnizam yang mengadakan latihan di sana mengakui banyak perbezaan dengan mutu bola sepak negara kita.

"Tahap intensiti serta corak latihan di sana memang cukup tinggi dan ia memberikan satu cabaran kepada mereka berdua.

"Beraksi di sana boleh meningkatkan tahap permainan mereka untuk jangka panjang selain kepada pasukan negara secara tidak langsung, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Kim Swee juga menambah, dia yakin ia satu permulaan baik kepada Wan Zack serta Wan Zaharulnizam meraih perhatian kelab lain di saingan lebih tinggi seperti J-League (Divisyen Utama) dan J-League 2 (Divisyen Dua Jepun).

"Ini adalah peluang terbaik buat mereka menunjukkan bakat yang mereka ada semasa bermain di sana dan ini adalah permulaannya.

"Daripada saingan Divisyen 3, saya rasa mereka berpeluang cerah mengembangkan karier di saingan lebih tinggi jika mereka tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana, " katanya. 

FC Ryukyu yang ditubuhkan pada tahun 2003 beraksi dalam Divisyen 3 atau lebih dikenali sebagai Liga Bola Sepak Jepun dianggap antara liga saingan amatur tertinggi di negara berkenaan.

Walaupun begitu, difahamkan ramai pemain bola sepak yang beraksi secara profesional telah bermain dalam saingan liga berkenaan.

Baru-baru ini, Wan Zack dan Wan Zaharulnizam berjaya menambat hati FC Ryukyu dan bakal ditawarkan kontrak selama dua tahun.

Delegasi FC Ryukyu akan hadir di Wisma FAM selepas skuad Kim Swee pulang menjalani perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar, 22 Februari ini bagi membincangkan isu kontrak kedua-dua pemain berkenaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...