Tuesday, February 26, 2013

Ahmad Fakri milik Kelantan

Sumber: Utusan online
 
KOTA BHARU - Spekulasi tentang penyerang kebangsaan Ahmad Fakri Saarani akan kembali ke tanah air terungkai, selepas pemain itu sah menjadi milik pasukan Kelantan untuk mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Ahmad Fakri yang kini beraksi bersama Atletico SC dalam divisyen tiga Portugal dikhabarkan mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan The Red Warriors kelmarin dan kontrak itu terbuka untuk dilanjutkan.

Khabar gembira tersebut, diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi entri laman sosial facebook miliknya, semalam.


Menurut Annuar, semua rundingan antara pihaknya bersama pemain berkenaan dan kelabnya, Athletico SC telah selesai dan kontrak tersebut akan bermula pada April ini.

"Semuanya telah sempurna melalui wakil kedua-dua pihak di Portugal. Kehadiran Ahmad Fakri akan memperkasakan lagi jentera serangan The Red Warriors yang kini turut memiliki Dimitrios Petrators dan Dickson Nwakaemi.

"Ahmad Fakri dijangka pulang ke tanah air Mac ini sebaik saja tamat liga di Portugal," katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pemain negara yang beraksi dalam liga Portugal itu mungkin kembali beraksi dalam liga tempatan jika kelab yang diwakilinya gagal naik ke divisyen dua.

Namun, pengurus peribadi pemain itu, Faisal Zakariah berkata, perkara itu akan terjawab sebulan lagi sebelum Ahmad Fakri yang mewakili Atletico Sport Clube Reguengos membuat keputusan muktamad.

Dikhabarkan juga pemain kelahiran Kelantan itu turut mengintai peluang beralih angin ke liga negara jiran, Thailand jika mendapat tawaran.

Akhbar sebelum ini melaporkan, juara treble musim lalu, Kelantan dikhabar bakal menyunting bekas penyerang Felda United, Ahmad Fakri yang sedang menimba pengalaman bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) kelab Divisyen Tiga Portugal.

Sumber dalaman KAFA memberitahu, pemain tersebut berada dalam perancangan KAFA untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan lagi jentera serangan Kelantan selepas pintu pendaftaran pemain dibuka pada 8 hingga 22 April ini.

Ahmad Fakri yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan memulakan kerjaya selaku pemain bola sepak skuad Piala Presiden Perak pada tahun 2006 sebelum menyertai pasukan senior selama dua musim (2007 hingga 2008).

Bintang Ahmad Fakri terus bersinar apabila beliau kemudiannya dipanggil menyertai skuad Harimau Muda A pada musim 2008 hingga 2009.

Selain itu, dia juga pernah beraksi dengan beberapa pasukan seperti Perlis, Negeri Sembilan dan penampilan terakhirnya dalam Liga-M musim lalu ialah bersama KL Felda United FC.

Kemasukan Ahmad Fakri ke kem Kelantan dijangka mengakhiri masalah ketumpulan jentera serangan yang sedang melanda pasukan juara treble itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...