Sumber: Sinar Harian Online
BEKAS pemain bola sepak negara, Khalid Ali yang menyokong tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan Liga-M menyifatkan badan induk bola sepak itu seharusnya mengambil iktibar dan berusaha untuk meningkatkan industri bola sepak negara.
Sambil menyifatkan apa yang diperkatakan Presiden Persatuan tindakan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bukti jelas FAM memang berada dalam keadaan kurang memuaskan, Khalid berkata, FAM tidak boleh terus menghukum seseorang.
Sebaliknya katanya, FAM perlu bertindak dengan melakukan lebih banyak program untuk melahirkan pengadil perlawanan terbaik.
"Mungkin FAM perlu membuat seminar kepada pengadil di Malaysia. Apa yang penting FAM perlu bertindak dari sekarang agar mutu pengadilan negara tidak terus diperkatakan.
“Saya akan menyokong mana-mana pihak yang berani memberi cadangan serta teguran kepada FAM kerana ia menunjukkan mereka mahukan kebaikan demi industri bola sepak negara.
"Ini kerana, kalau orang luar tak boleh kritik, orang berpangkat tinggi pun tak boleh kritik, siapa lagi yang boleh kritik," kata Khalid ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Tambah Khalid, "FAM seharusnya lebih terbuka untuk menerima teguran dan kritikan kerana sedikit sebanyak, ia membantu menambah baik persatuan itu, dan bukan sebaliknya apabila terus menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuat teguran."
“Kita duduk dalam negara yang menggunakan sistem demokrasi. Bermakna kritikan itu dibenarkan dan (kritikan) perlu untuk menambah baik satu-satu institusi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan FAM yang akan meneliti kenyataan Tunku Ismail ekoran komennya yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan bola sepak Malaysia yang dianggap lemah.
Susulan kenyataan itu, Tunku Ismail tidak boleh terlepas daripada mengikuti prosedur yang termaktub oleh undang-undang badan induk bola sepak negara terbabit.
Mengulas perkembangan itu, Khalid berkata, "cukup-cukuplah."
"Semua orang sudah penat dengan isu gantung ini. Kritikan tidak merugikan sesiapa pun, bagi saya kritikan yang dibuat oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa tidak membawa maksud apa-apa.
"Mereka cuma berasa bertanggungjawab terhadap persatuan itu, jadi mereka bersuaralah," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tindakan FAM yang tidak henti-henti menjatuhkan hukuman dengan yang terbaru, ke atas Shahidan, Khalid berkata, "saya hairan, mengapa jadi begini."
"FAM seolah-olah sukar menerima kritikan. Tidak dinafikan kritikan yang diberi ada yang negatif, tapi kita harus profesional.
"Setiap kritikan yang dibuat kerana kita ingin membantu menambah baik persatuan itu, bukan mahu menjatuhkan," tegas Khalid yang mahu FAM membuka minda untuk menerima kritikan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Akademik Kejurulatihan Kebangsaan, Dr. Balbir Singh Gill turut bersetuju dengan beberapa kenyataan mengenai mutu pengadilan yang dilihat semakin merundum dan tidak konsisten sejak kebelakangan ini.
"Sebenarnya ini isu lama yang sering bahan bualan ramai terutamanya penonton kerana mereka dapat menilai sendiri mutu pengadilan yang dipamerkan oleh barisan pengadil di Liga Malaysia.
“FAM pun seharusnya berfikiran positif tapi kalau mengenai soal undang-undang, orang yang salah harus dikenakan hukuman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar FAM menubuhkan satu jawatankuasa pengadilan bagi menangani permasalahan tersebut.
"Saya rasa jawatankuasa ini mampu meneliti, mengkaji dan berbincang mengenai mutu pengadilan yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
"Mereka perlu duduk berbincang bersama-sama bagi mencapai satu standard yang memuaskan untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.
Balbir menambah dengan penubuhan jawatankuasa tersebut segala kontroversi yang melanda dunia bola sepak tanah mungkin dapat dikurangkan dan akhirnya dapat diatasi demi mencapai mutu dan imej sukan negara.
No comments:
Post a Comment