Tuesday, February 12, 2013

Fauzi percaya peluang akan jadi kenyataan

Sumber: Metro Online
 
Kuantan: Enggan kecewa apabila tidak disenaraikan ketika Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Qatar pada pusingan Kelayakan Piala AFC 2015, Mohd Fauzi Rozlan percaya peluangnya dalam kesebelasan utama skuad negara akan menjadi kenyataan.

Justeru, Mohd Fauzi yang lebih mesra dengan panggilan Kojie mahu terus memikat hati jurulatih Datuk K Rajagobal apabila Harimau Malaya melayan Yaman dalam perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Shah Alam, 22 Mac depan.

Penyerang berusia 25 tahun itu sudah membuat yang terbaik dan berterima kasih kepada jurulatih kerana memanggil dan menyenaraikannya dalam skuad negara ke Doha.

"Diberi peluang beraksi selama 20 minit pada aksi persahabatan bertemu Iraq adalah detik terbaik buat saya sebagai pemain yang kali pertama dipanggil menyertai skuad negara.

“Saya anggap peluang yang diberi itu membantu meningkatkan kualiti permainan terutama bertemu pasukan terbaik di Asia,” katanya.

Bagi memastikan namanya disenaraikan pada perlawanan kedua bertemu Yaman nanti, Kojie akan membuktikan sentuhan berbisanya dalam saingan Liga Super.

Sebelum Liga Super berehat, Fauzi menjaringkan tujuh gol termasuk dua dalam saingan Piala FA.

“Saya percaya peluang untuk bersama Harimau Malaya tetap ada dan apabila Liga Super bersambung Sabtu ini, saya akan pastikan prestasi meningkat dan mampu menjaringkan gol pada setiap perlawanan”.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...