Tuesday, February 12, 2013

Irfan yakin anak buahnya fokus

Sumber: Metro Online
 
Shah Alam: Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin anak-anak buahnya fokus menghadapi Sabah pada pusingan kedua Piala FA dengan insiden pergaduhan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlaku pada bulan lalu sudah dilupakan.

Selepas menyingkirkan ATM dalam pusingan pertama Piala FA dalam perlawanan penuh kontroversi itu, Selangor meneruskan usaha untuk menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir dengan tujuh perlawanan membabitkan 14 pasukan lain dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini.

“Pemain sudah melupakan insiden itu dengan misi sekarang adalah membaiki pencapaian musim lalu selepas tersekat di pusingan kedua. Saya mahukan pemain meneruskan rentak kemenangan yang dicapai sebelum ini termasuk ketika perlawanan persahabatan yang berlangsung dalam tempoh rehat tiga minggu ini,” katanya.

Malah Irfan tidak melihat perlawanan yang berlangsung pada 3.45 petang di Likas, itu bakal menimbulkan masalah kepada pemainnya yang turut mempunyai pengalaman yang sama ketika beraksi pada kejohanan jemputan di Acheh, Indonesia dalam aksi pra-musim.

“Perlawanan ini bakal meletihkan pemain kerana berlangsung dalam cuaca panas namun saya percaya pengalaman lalu akan memberikan pengajaran untuk mengeksploitasi keadaan dan menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Selangor bagaimanapun turun tanpa tonggak utama iaitu S Kunanlan, Mohd Bunyamin Omar selain Mohd Amri Yahyah yang masih menjalani penggantungan perlawanan dengan Irfan tidak melihatnya sebagai masalah besar kepada juara lima kali Piala FA itu.

“Saya masih mempunyai pengganti yang mampu diharapkan cuma semua pemain tidak boleh memandang rendah keupayaan Sabah yang mampu menyingkirkan Felda United (Liga Super) walaupun beraksi di Liga Perdana,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...