Friday, February 1, 2013

Nazmi tinggalkan S.C Beira-Mar?


Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR - Pemain muda berbakat besar yang kini beraksi bersama kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira-Mar, Mohd. Nazmi Faiz melakukan tindakan yang mengejutkan apabila dikhabarkan mengambil keputusan pulang ke tanah air, semalam dengan mengundang seribu satu persoalan.

Biarpun mengikut sumber daripada laman web rasmi Beira-Mar yang dia akan dipinjamkan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun badan induk bola sepak negara itu menafikan yang mereka memanggil pemain berusia 19 tahun itu pulang ke sini.

Bertambah menarik, pemain yang berasal dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur dikatakan akan membuat penampilan dengan salah satu pasukan dalam saingan Liga Super.



Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi semalam menegaskan, beliau tidak tahu menahu kepulangan Nazmi sambil menyatakan tiada sebarang perancangan lanjut dilakukan terhadap pemain itu sepanjang berada di sini.

''Terus terang saya tidak tahu yang dia mahu kembali ke sini dan pihak FAM sendiri menafikan yang kami mahu dia dipinjamkan.

''Saya sendiri baru mendapat tahu yang dia akan balik dan terkejut dengan perkembangan ini, namun pada masa sekarang, itu sahaja yang saya boleh beritahu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang berada di Australia juga tidak mengetahui kepulangan Nazmi ke Malaysia selama enam bulan dan menafikan dia akan membawanya bermain bersama Harimau Muda A.

Menurut artikel daripada laman sesawang S.C Beira-Mar, pemain itu akan pulang ke tanah air dalam tempoh enam bulan ini bagi membantu pasukan negara dalam kelayakan Piala Asia 2015 setelah diminta oleh FAM.

Pun begitu, terdapat sumber mengatakan Nazmi telah dibebaskan sepenuhnya oleh Beira-Mar atas sebab belum yang belum dikenal pasti dan tidak akan kembali lagi ke Portugal selepas ini.

Apa yang pasti, jika berita itu satu kebenaran, ia pasti satu kerugian kepada Nazmi yang baharu mahu memulakan karier di Eropah dan kehilangannya membuatkan hanya Ahmad Fakri Saarani menjadi pemain tunggal negara bermain di Portugal bersama Atletico S.C.

Nazmi yang telah membuat 17 penampilan bersama pasukan Bawah 19 tahun Beira-Mar dan menjaringkan satu gol menyertai kelab yang berpangkalan dari Aveiro itu pada 21 Mei 2012 selepas menjalani sesi pemilihan di sana.

Aksinya yang cemerlang membantu pasukan Bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia 2011 selain menjadi pemain utama pada pusingan kelayakan zon Asia Sukan Olimpik 2012.

Pemergiannya ke Portugal sebelum ini mendapat liputan meluas oleh pihak media serta pujian ramai peminat bola sepak negara kerana menjadi antara pemain termuda mengembangkan karier ke bumi Eropah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...