Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR - Naib juara Piala FA musim lalu,
Sime Darby FC mencatat kemenangan besar dalam aksi Liga Perdana semalam
selepas membelasah NS Betaria 6-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pemain import dari Croatia, Karlo Primorac muncul wira selepas
melakukan hatrik pada minit keenam, ke-73 dan ke-81, manakala bekas
pemain Pahang, Selangor, KL Plus dan T-Team, Fadzli Saari menjaringkan
dua gol (m-57 dan m-69).
Satu lagi gol pasukan yang dibimbing Ismail Zakaria dijaringkan Yusof Zainal seminit sebelum perlawanan tamat.
Kemenangan besar itu membolehkan Sime Darby mencabar kedudukan tangga teratas Liga Perdana.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, POS Malaysia gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila kecundang kepada Johor 0-2.
Pasukan pelawat memperoleh jaringan menerusi pemain import Muriel
Orlando pada minit ke-37 sebelum Farid Ideris memastikan kemenangan
Johor melalui jaringan kedua pada minit ke-55.
Di Stadium UiTM Shah Alam, pasukan tuan rumah UiTM FC mencatat
kemenangan sulung apabila menang 2-0 ke atas Sabah, malah mereka juga
berjaya mencipta jaringan pertama selepas lima perlawanan.
UiTM berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-58 dan berjaya
menjaringkan gol kedua pada minit terakhir perlawanan menerusi Muhammad
Hafizuddin Harun.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, S.P.A Putrajaya berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur dengan keputusan seri tanpa jaringan.
No comments:
Post a Comment