Sumber: Sinar Harian Online
JURULATIH Pahang, Dollah Salleh berkata, keadaan padang merupakan punca pasukannya dibelasah 0-3 oleh Lions XII dalam saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, semalam.
Menurut Dollah, kurang bermain di padang tiruan menyebabkan anak buahnya seakan-akan hilang rentak permainan dan gagal mempamerkan aksi terbaik seperti mana yang dilakukan sebelum ini.
"Padang tiruan mungkin salah satu sebab mengapa pemain gagal mempamerkan aksi terbaik.
"Setiap pergerakan pemain semua tidak menjadi, boleh saya katakan mereka tercari-cari rentak permainan.
"Saya pun tidak tahu mengapa pemain banyak hilang fokus dan sering melakukan kesilapan yang sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Tambah Dollah, "saya tidak mahu menjadikan padang tiruan sebagai alasan."
"Kalah tetap kalah. Apa yang penting sekarang, permainan akan datang kita harus bangkit dan tidak boleh mencatat kekalahan," ujarnya.
Semalam, hajat Pahang untuk kembali menghuni tangga teratas liga selepas dirampas Selangor tidak kesampaian apabila tewas kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar.
Malah, skuad kendalian Dollah itu turut di pintas Lions XII apabila kedua-dua pasukan terikat 12 mata hasil empat menang dan dua tewas tetapi Lions XII memiliki kelebihan perbezaan gol.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah kekalahan itu akan melemahkan semangat pemain menjelang perlawanan menentang Perak Selasa depan, Dollah tidak menolak kemungkinan keputusan itu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemain.
"Itu yang saya takutkan. Saya risau kekalahan itu akan menjejaskan tumpuan pemain nanti.
"Apa pun, saya yakin pemain pandai mengawal emosi dan mereka juga tahu perjalanan liga masih jauh.
"Dan peluang untuk bangkit masih terbuka untuk mereka membuktikan kehebatan Pahang," ujar Dollah yang berharap pemainnya akan melupakan kekalahan tersebut dan memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya.
No comments:
Post a Comment