Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR - Liga Australia (A-League) mungkin
menjadi medan terbaru buat para pemain negara mengembangkan karier
selepas aksi pasukan Harimau Muda A menarik perhatian beberapa kelab di
sana.
Jurulatih Ong Kim Swee mendedahkan, ia mampu direalisasikan sekiranya
hasil perbincangan antara wakil yang membawa Harimau Muda A beraksi di
Australia, Scott Ollerenshaw dengan kelab yang berminat menemui hasil
yang positif.
"Masih ada lagi perbincangan (pemain beraksi dalam Liga Australia)
antara Ollerenshaw bersama pasukan yang berminat. Masih terlalu awal
untuk kita mengetahui perkembangannya.
"Memang ada beberapa pasukan yang difahamkan mahu memancing
pemain-pemain muda kita bermain di sana dan saya memang berharap ia
menjadi kenyataan.
"Ramai ejen pemain memantau perlawanan Harimau Muda A semasa di sana
dan memang ada beberapa pemain yang menarik perhatian mereka, " katanya
ketika dihubungi, semalam.
Kim Swee mengingatkan, usaha membawa pemain negara beraksi di sana
tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat kerana saingan A-League akan
berakhir tidak lama lagi.
"Pintu perpindahan telah lama ditutup kerana A-League akan berakhir
pada April dan akan kembali bersambung pada Ogos ini bagi menghadapi
musim baru.
"Jadi dalam tempoh itu sahaja pembelian pemain dapat dilakukan dan
kita nantikan hasilnya bagaimana tetapi saya yakin pasti ada pemain kita
akan ke sana, " katanya.
Ditanya mengenai mutu saingan A-League, pengendali berumur 42 tahun
itu mengakui biarpun tidak setanding Liga Jepun atau Liga Korea, ia
masih liga yang cukup kompetitif buat para pemain negara ini.
"Saya berkesempatan melihat perlawanan A-League dan apa yang boleh
saya katakan adalah memang saingan liga mereka memang bermutu tinggi.
"A-League mempunyai ramai pemain berkualiti dan tahap permainan tiap
pasukan juga menampilkan keupayaan teknikal yang tinggi, jadi memang
satu liga yang baik buat para pemain kita," katanya.
Sebanyak 10 pasukan bersaing dalam A-League dan beberapa pemain
terkemuka dunia telah memilih haluan bermain di sana antaranya bekas
bintang Itali dan Juventus, Alessandro Del Piero yang bersama Sydney FC
dan bekas pemain antarabangsa England, Emile Heskey yang kini mewakili
Newcastle Jets.
No comments:
Post a Comment