Wednesday, February 20, 2013

Lima cedera kerangka lama bumbung Stadium Gong Badak runtuh

Sumber: Bernama & Sinar Harian Online

Lima cedera kerangka lama bumbung Stadium Gong Badak runtuh
Beberapa pekerja dan anggota Bomba memberi rawatan kepada mangsa yang cedera akibat runtuhan kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Foto Bernama
Lima cedera kerangka lama bumbung Stadium Gong Badak runtuh

Sebahagian daripada kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Bernama


KUALA TERENGGANU - Lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini yang dalam proses baik pulih, runtuh hari ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium itu.


"Dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pekerja yang parah ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, dan Safian Abdul Manaf, 21, manakala dua yang cedera ringan ialah ringan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31.
Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari tempat runtuhan setengah jam selepas runtuhan dan kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, katanya.
Hamzah berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika ditemui pemberita di Seri Iman di sini, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.
Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.
Sementara itu, seorang saksi kejadian Ahmad Faizan Ramli yang juga rakan mangsa berkata beliau mendengar satu bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat kerangka besi itu runtuh menghempap rakannya.
"Ketika kejadian rakan-rakanya sedang melakukan kerja pemotongan struktur bumbung lama yang turut membabitkan penggunaan beberapa kren," katanya.

Seorang daripada mangsa yang terselamat, Safian Abdul Manaf, 21, berkata kejadian berlaku terlalu pantas kira-kira sejam selepas dia mula bekerja.

Katanya ketika itu dia sedang mengalih kerangka sepanjang 137 meter dengan ketinggian 25 meter dan sempat melihat kerangka besi itu jatuh lalu menghempapnya.

Akibat kejadian itu dia mengalami patah kaki kanan, luka di mulut serta patah gigi.

"Lepas dihempap, muka saya pula tersembam di bahagian tangga sehingga menyebabkan gigi saya patah dan mulut saya berdarah. Lepas tu, saya dah tak sedar apa-apa," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Selain Safian, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 25, yang cedera di lutut kanan serta Mohd Saidi Ismail, 21, yang cedera di pinggang.

Dua mangsa yang cedera ringan ialah Mohd Syukri Jusuh, 31, dan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan kesemua mereka turut dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi pekerja, Mohd. Ariff Harun, 18, berkata ketika kejadian, dia sempat lari menyelamatkan diri kerana berada di bahagian bawah runtuhan.

Bagaimanapun, dia berkata runtuhan itu mengenai pinggangnya dan dia turut mendapatkan rawatan pesakit luar walaupun hanya mengalami lenguh-lenguh.

"Saya nampak kejadian itu berlaku dan saya tidak rasa ia berpunca daripada kelalaian kerana kerangka besi itu sememangnya nampak goyang dan tidak kukuh," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...