Thursday, February 21, 2013

Apakah tindakan FAM selepas ini?

Sumber: Metro Online
 
Kelana Jaya: Tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kritikan terhadap kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) mencetuskan persoalan sama ada beliau juga bakal dikenakan tindakan kerana melanggar Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM.

Tunku Ismail meluahkan rasa tidak puas hati sehingga melabel mutu pengadilan negara ini masih di tahap amatur pada sidang media tergempar selepas perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan LionsXII yang berkesudahan seri 2-2 kelmarin.

Beliau menyentuh soal mutu pengadilan itu dalam satu laporan laman web sukan tempatan semalam. Malah, laman web itu turut menyiarkan kenyataannya yang menegur FAM kerana gagal membendung gejala bookie serta mengatur perlawanan.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud yang diminta mengulas mengenai isu itu berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat namun menegaskan bersedia untuk membuat siasatan.

“Apa yang beliau (Tunku Ismail) buat, saya pun belum baca lagi. Ada keluar TV mana? Kena tunjukkan video dan jawatankuasa tatatertib akan tengok sama ada betul atau tak betul,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib semalam.

Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden FAM dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan mengenai polisi dan pentadbiran manakala ahli lain di bawah naungan badan induk itu perlu mendapatkan kebenaran terlebih dulu.

“Kalau kita lihat Artikel 88, kita boleh buat kenyataan akhbar tapi jangan sentuh soal pentadbiran. Kita juga tak boleh pertikai keputusan yang sudah dibuat, kadang-kadang bila sudah tahu keputusan kita masih pertikaikan lagi,” tegas Ahmad Fuad.

Kerana bahana Artikel 88, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik FAM.

Nasib malang turut menimpa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang turut dikenakan hukuman penggantungan yang sama tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.

Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum pada 1991, disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...