Thursday, February 21, 2013

Dollah akui Pahang tak bernasib baik

Sumber: Metro online
 
Kuantan: “Kami tidak bernasib baik.” Itu komen ringkas jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengulas kekalahan kedua berturut-turut Pahang pada saingan Liga Super musim ini.

Di Stadium TLDM Lumut kelmarin, skuad Tok Gajah ditimpa malang apabila tumbang 0-1 di tangan Perak dan lebih memalukan, gol tuan rumah ‘dihadiahkan’ pemain paling berpengalaman Pahang, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-45.

Dollah berkata, kekalahan itu tidak patut diterima skuadnya memandangkan mereka menguasai permainan tapi ketumpulan barisan serangan membuatkan mereka terpaksa akur dengan keputusan memedihkan itu.

“Memang kecewa kerana pemain sudah memberi persembahan terbaik dan bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan tapi nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan, Pahang kini menghuni tangga kelima dengan memungut 12 mata hasil empat kemenangan.

Sejak Liga Super bersambung minggu lalu, ini adalah kekalahan kedua Pahang selepas dibelasah 0-3 oleh Lions XII dan keadaan itu cukup meresahkan peminat Tok Gajah kerana mereka pernah gah menduduki persada Liga Super sebelum arena bola sepak tertinggi negara itu berehat selama tiga minggu.

Justeru, bagi Dollah, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali perlu menewaskan Kelantan di Stadium Darulmakmur, Sabtu ini, bagi menarik semula kepercayaan dan sokongan peminat.

“Saya harap pemain dapat bangkit untuk memperbaiki kedudukan sekali gus menceriakan semula penyokong kami.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...