Wednesday, September 4, 2013

Tiada makna menang besar

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Kemenangan besar ke atas pasukan Liga Perdana UiTM FC 5-0 dalam aksi persahabatan semalam seakan-akan tidak memberi sebarang makna buat jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee yang tidak berpuas hati dengan corak permainan agak perlahan anak buahnya.

Menurut pengendali Harimau Muda A itu, pasukannya gagal mengatur permainan lebih tersusun khususnya di bahagian tengah dan mahu pemain segera memperbaiki kelemahan itu jika tidak mahu dihukum ketika menyertai Kejohanan Pestabola Merdeka bermula Sabtu ini.



“Kemenangan 5-0 ini keputusan yang bagus tapi saya kurang berpuas hati dengan pergerakan bola agak perlahan. Pemain seperti bermain sambil lewa terutama apabila mendahului pasukan lawan. Saya mengingatkan pemain mereka akan berdepan dengan cabaran lebih hebat, jadi mereka perlu lebih berhati-hati, harus beraksi lebih pantas,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Skuad B-23 kini berada di Kuantan sebagai persediaan sebelum turun menentang skuad B-23 Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka yang turut membabitkan pasukan Thailand dan Myanmar.


Dalam perlawanan semalam, UiTM FC menurunkan lima pemain import yang dipanggil untuk menjalani ujian pemilihan pasukan itu, tetapi mereka gagal menyekat penguasaan skuad muda negara yang menjaringkan tiga gol pada babak pertama menerusi dua pemain luar Junior Eldstal (Sarawak) dan Wan Zack Haikal Wan Noor (FC Ryukyu) serta penyerang Harimau Muda A, A Thamil Arasu.


Thamil Arasu kemudian menambah gol keempat sebelum Rozaimi Abd Rahman melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 anak buah Kim Swee.

Ini perlawanan pertama Kim Swee dapat menurunkan lapan pemain luar yang dipanggil kali ini antaranya pemain tengah Junior, pemain sayap Wan Zack Haikal, Mohamad Nasif Basharuddin (Perak) dan pemain pertahanan Kelantan Nik Shahrul Azim Abd Halim.


“Saya berpuas hati dengan komitmen pemain, sikap dan persefahaman pemain lama dan baru dalam pasukan ini. Walaupun mereka hanya baru sekali menjalani latihan namun sudah boleh mengikuti corak permainan yang saya mahukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...