Wednesday, September 25, 2013

Usah ghairah kejar wang

Sumber: Harian Metro

Foto

Kuala Lumpur: Jangan kelabu mata dengan tawaran lumayan.

Itu peringatan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar terhadap pemain tempatan yang kini semakin ghairah dipancing beberapa pasukan sedia berbelanja besar untuk menghadapi Liga Malaysia tahun depan.



Katanya, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan selain bayaran lumayan yang ditawarkan sesetengah pasukan.

“Buatlah pilihan yang tepat, jangan pandang duit saja. Walaupun mendapat tawaran sehingga RM50,000 sebulan, pemain perlu memikirkan bagaimana peluang untuk beraksi dalam sesebuah pasukan, adakah mampu berada dalam perancangan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama atau sekadar memanaskan bangku simpanan. Bagaimana pula dengan aspek keserasian dengan jurulatih atau pemain lain? 

“Secara tidak langsung perkara seperti ini perlu diberikan perhatian terutamanya pemain kebangsaan. Bagi seseorang pemain, apabila tidak kerap beraksi atau sekadar menjadi pemain gantian, ia bakal mempengaruhi prestasi di peringkat lebih tinggi terutamanya apabila dipanggil menyarung jersi negara. Sebab itu pertimbangan sewajarnya perlu sebelum membuat keputusan,” katanya yang juga kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemain berusia 34 tahun yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan turut berpandangan kehadiran pemain bintang yang terlalu ramai mewakili sesebuah pasukan bakal menjurus kepada berlakunya situasi berkenaan kerana tidak semua pemain mendapat peluang bermain.


Sebahagian besar pasukan tempatan kini giat memancing pemain ternama tempatan dengan tawaran gaji lumayan sebagai persiapan menghadapi musim depan.

Antara yang mendapat tawaran lumayan penyerang Selangor yang juga pemain kebangsaan Mohd Amri Yahyah yang difahamkan mendapat tawaran RM1 juta daripada Johor Darul Takzim selain beberapa pemain kebangsaan lain seperti Asraruddin Putra Omar, Norazlan Razali, Norfarhan Muhammad dan Mahali Jasuli.


“Bagi saya ini perkembangan baik (tawaran lumayan dan sokongan peminat yang semakin meningkat) kerana sudah banyak pasukan berani berbelanja besar untuk mendapatkan pemain tertentu. Sebagai balasannya pemain perlu meningkatkan prestasi supaya sepadan dengan gaji diterima.


“Malah saya ingin mengingatkan semua pemain supaya tidak merosakkan perkara positif ini dengan unsur negatif seperti rasuah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...