Tuesday, September 24, 2013

‘Kami diaib begitu teruk’

Sumber: Harian Metro

Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta menggantung pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu kerana mengesyaki berlaku elemen sabotaj dan rasuah dalam kalangan pemain pada kempen PIala Malaysia 2013.

Laporan polis itu dibuat Naib Presiden 2 PAFA Ishsam Shahruddin yang juga penolong pengurus pasukan di Balai Polis Sungai Senam dan Pejabat SPRM di Meru Raya, tengah hari semalam.



Ketika mengesahkan tindakan itu, Ishsam berkata laporan itu dibuat selepas perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Darurat yang dipengerusikan Timbalan Presiden Khairul Azwan Harun di pejabat PAFA, pagi semalam.

“PAFA begitu kecewa dengan kemerosotan mendadak Perak dalam empat perlawanan terakhir Piala Malaysia lalu. Selepas permulaan cemerlang dalam tiga perlawanan awal, kami yakin mara ke suku akhir tapi malangnya cabaran Perak tiba-tiba malap . “Malah kami diaib dengan begitu teruk sekali oleh Sarawak pada perlawanan terakhir. Mustahil tiba-tiba saja persembahan pasukan menjunam,” kata Ishsam.


Terdahulu PAFA mengumumkan tindakan menggantung kesemua tugas pegawai skuad Liga Super 2013 termasuk ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah selama dua minggu berkuat kuasa serta merta.


Malah sebuah jawatankuasa khas dipengerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA Datuk Ismail Sapian ditubuhkan bagi menyiasat secara mendalam dan terperinci gejala yang berlaku dalam tempoh dua minggu.

“Kita beri tempoh dua minggu untuk jawatankuasa ini membuat penyiasatan rapi. Tempohnya mungkin lebih pendek jika isu ini berjaya diselesaikan lebih awal,” katanya. “Tindakan ini hanya sementara untuk dua minggu saja. Selepas ini kita akan putuskan apa tindakan selanjutnya.


“Jika hasil siasatan positif saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas. PAFA serius menangani isu disiplin dan rasuah dalam pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...