Monday, September 23, 2013

‘Tiada guna halang pemain berhijrah’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak mengekang penghijrahan barisan pemain bintangnya seandainya peruntukan sekitar RM8 juta seperti yang dibelanjakan musim ini terus dikekalkan untuk saingan tahun depan.

Suntikan kewangan jelas diperlukan Merah Kuning apabila hampir semua pemain utamanya kini sudah mendapat tawaran lumayan meninggalkan gergasi Merah Kuning dengan Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Asraruddin Putra Omar dan Norazlan Razali difahamkan sudah bersedia untuk ‘mengangkat kaki’ ke selatan tanah air bersama Johor Darul Takzim (DT).



Malah beberapa pemain lain seperti S Kunanlan, Solehin Kanasian, Mohd Nasriq Baharom dan Adib Aizuddin turut mendapat tawaran FELDA United.

“Tiada guna untuk menghalang mereka seperti Amri yang ditawarkan RM1 juta setahun. Ia harga yang terlalu tinggi untuk pemain yang agak veteran sedangkan ketika ini pemain tertinggi yang dibayar Selangor adalah RM32,000,” menurut sumber.


Bagaimanapun Selangor hampir pasti mengekalkan sejumlah pemain seperti Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Shukor Jusoh, Raimi Md Noor, Fitri Shazwan Raduwan, Afiq Azmi dan Mohd Fairuz Abdul Aziz.


Malah difahamkan walaupun bakal kehilangan sejumlah besar tonggak utama berstatus kebangsaan, Merah Kuning sudah mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan untuk membimbing mereka pada musim depan.

Ia akan disusuli dengan kehadiran beberapa pemain ternama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan selain dua tonggak import yang sudah lama beraksi di Liga Malaysia.


Sementara itu Selangor melengkapkan saingan peringkat Kumpulan A malam kelmarin dengan menewaskan Johor 2-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Kunanlan dan Amri pada babak kedua.

“Mungkin kali ini tiada tekanan daripada mana-mana pihak. Semua pemain memberikan komitmen tinggi dalam perlawanan ini,” kata Amri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...