Sumber: Harian Metro
Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bakal kehilangan sekurang-kurangnya tujuh tonggak utama bertaraf bintang musim depan selepas menerima tawaran lumayan daripada tiga pasukan negeri dan kelab.
Tawaran gaji antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan dikatakan menjadi tarikan utama pemain terbabit untuk ‘angkat kaki’ meninggalkan skuad Tok Gajah yang kini bersaing di suku akhir saingan Piala Malaysia.
Sumber mendedahkan persetujuan secara lisan sudah dibuat dengan pasukan terbabit untuk digandingkan dengan barisan sedia ada.
Disebabkan kontrak dengan PBNP hanya akan tamat Disember, pemain berkenaan terpaksa mendiamkan diri bagi mengelak sebarang masalah selain membisu dengan tawaran lanjutan kontrak yang dihulurkan oleh pegawai PBNP sebelum ini.
Sekiranya episod penghijrahan beramai-ramai ini menjadi kenyataan, Pahang pasti tempang musim depan berdepan pasukan berstatus jutawan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Mereka hanya bergantung kepada beberapa muka lama dan kepincangan ini seharusnya dipandang serius PBNP sekiranya ingin mencatat kejayaan manis musim depan.
Gaji di bawah RM10,000 kini tidak mungkin dapat menarik minat pemain bertaraf bintang untuk terus menyarung jersi pasukan kerana dengan imej sebagai pemain utama pasti mereka memilih tawaran lebih lumayan.
Prestasi Tok Gajah yang terumbang-ambing sejak beberapa musim lalu turut menjadi penyumbang kepada pemain berhijrah apatah lagi di era bola sepak profesional pemain lebih mengutamakan imbuhan lumayan, tidak lagi semangat kenegerian seperti era 60 hingga 70an dulu.
Sementara itu, bekas pemain negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pasukan negeri dan kelab yang bercita-cita melakar kejayaan dalam Liga M perlu menyediakan peruntukan kewangan besar untuk menarik perhatian pemain.
Katanya, walaupun tiada jaminan dengan adanya pemain bertaraf bintang, kejuaraan mudah diraih tetapi imej pasukan yang melonjak mampu menarik perhatian penonton datang ke stadium.
“Tempoh seseorang pemain boleh beraksi cemerlang antara lima hingga lapan tahun saja, jadi mereka perlu bijak merebut tawaran lumayan sebagai bekalan selepas bersara nanti.
“Saya tidak menyalahkan pemain sekiranya mereka menerima tawaran lumayan kerana dalam era profesional ini pendapatan lebih diutamakan,” katanya lagi. Beliau berkata, bola sepak hari ini sudah menjadi suatu perniagaan, persatuan bola sepak negeri dan kelab yang ingin meraih keuntungan berganda perlu bijak membuat pelaburan dengan mendapatkan pemain bertaraf bintang.
No comments:
Post a Comment