Sumber: harian Metro
Kuala Lumpur: China seolah-olah memberikan amaran awal kepada skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal dengan kejayaan besar membelasah Singapura 6-1 pada perlawanan persahabatan di Pusat Sukan Olimpik Tianjin, Jumaat lalu.
Kini giliran Harimau Malaya turun mencabar skuad Tembok Besar itu dalam aksi persahabatan kategori A yang dijadual berlangsung esok sebagai persiapan aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain, Oktober ini.
“Kami menyaksikan perlawanan itu, sememangnya mereka berada dalam prestasi terbaik ketika ini terutamanya apabila beraksi di tempat sendiri. Corak permainan mereka nyta pelbagai dengan hantaran jauh dan pendek serta berbahaya apabila menyerang di bahagian sayap terutama kiri,” kata pemain negara Mohd Amri Yahyah yang kini bersama skuad kebangsaan di republik itu.
China mendominasi perlawanan itu apabila mendahului 4-1 pada separuh masa pertama dengan Yu Dabao dan Zheng Long masing-masing menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan selesa buat tuan rumah yang turut dalam rangka persiapan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2015.
“Walaupun mereka mencatatkan kemenangan besar, ia tidak melunturkan semangat kami mempamerkan tahap permainan tertinggi. Kami bukan seperti Singapura yang boleh diperkotak-katikkan. Sesi latihan yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyusun strategi terbaik menentang mereka,” kata pemain paling senior skuad negara itu.
Walaupun skuad negara hadir di China tanpa beberapa tonggak utama yang turut mempunyai tugasan bersama skuad bawah 23 tahun negara di Pestabola Merdeka selain masalah kecederaan namun barisan kendalian Rajagobal itu dilihat tetap mantap dengan kehadiran barisan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa.
“Sesi latihan banyak menumpukan kepada bahagian pertahanan dan tengah supaya kita mampu memenangi lebih banyak bola untuk melancarkan serangan,” katanya.
Menurut laman web FIFA, kali terakhir skuad negara bertemu China pada Ogos 2009 di Stadium Shah Alam dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
No comments:
Post a Comment