Monday, September 9, 2013

Junior tak angkuh

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Junior Eldstal mengingatkan rakan sepasukan usah terlalu cepat mendabik dada sebaliknya berwaspada dengan ancaman skuad B-23 Myanmar yang bakal memberikan mereka ujian sebenar di Kejohanan Pestabola Merdeka.

Biarpun memulakan kempen kejohanan edisi ke-41 di Kuantan, Pahang dengan kemenangan 1-0 ke atas Singapura kelmarin, Malaysia gagal mempamerkan kemampuan sebenar dengan aksi di atas padang becak di Stadium Darul Makmur dijadikan alasan.



Pemain kelahiran Malaysia-Sweden itu yang juga dikenali sebagai Putera Nadher Amarham antara yang menerima pujian jurulatih Ong Kim Swee dalam perlawanan menentang Singapura itu sedar Myanmar boleh menyekat hajat mereka untuk menempah tiket ke final lebih awal jika pemain negara mengambil sikap ambil mudah.

“Sukar bermain dalam keadaan begitu (padang becak) tapi kami berjaya buktikan dapat mengawal permainan walaupun dalam situasi sukar.


“Berdasarkan perlawanan Myanmar dan Thailand malam tadi (kelmarin), lawan kita esok (hari ini) kuat dan pantas serta bagus dalam serangan balas. Tapi kita juga pasukan yang kuat dan saya harap kita dapat tunjukkan kemampuan untuk menandingi mereka dan memperoleh keputusan baik,” kata Junior yang mencipta gerakan gol untuk A Thamil Arasu kelmarin.


Junior pemain Sarawak yang dipanggil menyertai skuad muda negara buat kali pertama tampil dengan aksi menyerlah ketika menentang Singapura namun pemain berusia 21 tahun itu enggan menerima pujian itu.

“Bola sepak sukan berpasukan dan kami perlu bekerja sama untuk mendapat keputusan baik. Saya boleh beraksi lebih baik berbanding semalam (kelmarin) dan saya harap keadaan padang akan lebih baik selepas ini,” katanya.


Sementara itu tonggak pertahanan tengah Mohd Fadli Shas tidak sabar untuk beraksi menentang Myanmar yang mengecewakan mereka pada pusingan kelayakan Piala Asia B-22 Julai tahun lalu.

Pemain kebangsaan itu bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi menebus kekalahan 1-2 kepada Myanmar kendalian Park Sung Hwa pada perlawanan terakhir kelayakan sekali gus menyaksikan mereka gagal mara ke pusingan seterusnya.


“Bagi saya, perlawanan dengan Myanmar ini ibarat ulangan tahun lalu, saya berharap kami dapat menebus kekecewaan itu. Kami tahu Myanmar mempunyai pemain yang bagus, bermain dengan corak permainan pantas tapi saya yakin kami lebih bersedia kali ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...