Wednesday, September 11, 2013

Rombak jumpa gajah

Foto

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Tiada istilah skuad kedua bagi jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee apabila beliau bakal merombak barisan pemainnya untuk perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Darul Makmur malam ini.

Selepas tiket ke final Pestabola Merdeka sudah berada dalam genggaman, pengendali negara itu mengakui akan memberi peluang kepada pemain lain untuk beraksi namun itu tidak bermakna mereka ‘hilang selera’ untuk mencipta kemenangan.



Ini kerana setiap pemain yang beraksi perlu membuktikan kemampuan sekiranya mahu merebut tempat dalam skuad ke Sukan SEA Myanmar, pada Disember nanti.

“Jika pemain beraksi baik di Pestabola Merdeka ini, mereka berpeluang disenaraikan dalam skuad Sukan SEA, jika tidak mereka mungkin digugurkan.


“Pemain harus faham, mereka perlu berusaha keras kerana kita mempunyai ramai pilihan pemain.


“Masih ada pemain yang tidak beraksi di sini kerana cedera dan akan sembuh selepas ini seperti Fandi Othman, Ahmad Hazwan (Bakri), Izzaq (Faris Ramlan), Wan Zaharulnizam (Zakaria) dan Gary Steven Robbart.

“Kepada pemain yang bermain esok (hari ini), mereka perlu membuktikan sesuatu dan saya percaya semua pemain layak beraksi dalam kesebelasan utama,” katanya pada sidang media semalam.

Kim Swee berkata, keputusan merombak pasukan diambil bagi memberi rehat kepada beberapa pemain utama yang tampak keletihan mengharungi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari serta ada di antara mereka mengalami kecederaan ringan.

Malaysia mara ke final dan berpeluang merebut kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2008 selepas meraih kemenangan kedua dengan mengalahkan Myanmar 2-1 kelmarin.

Aksi dengan Thailand malam ini dianggap sebagai pelengkap jadual namun Kim Swee tetap menuntut peningkatan daripada anak buahnya.

“Kami mencipta banyak peluang dalam perlawanan semalam (kelmarin) tapi hanya berjaya menjaringkan dua gol saja, saya harap kami dapat mempamerkan peningkatan khusus pada perlawanan akhir nanti.

“Bagi saya Thailand pasukan yang bagus, walaupun sebahagian besar pemain dari kelab, mereka mempunyai kualiti dan saya menjangkakan saingan sengit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...