Tuesday, September 24, 2013

Marshall Soper pengendali sementara

Sumber: Utusan Malaysia

IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) semalam mengumumkan pelantikan bekas pemain antarabangsa Australia, Marshall Soper sebagai pengendali sementara pasukan itu setelah jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah digantung tugas.

Soper, 53, yang mempunyai 43 cap antarabangsa bersama skuad Socceroos, pernah mewakili skuad Perak pada tahun 90-an.



Dia yang juga ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Pafa sejak April lalu, akan dibantu oleh pengurus pasukan Yayasan Bina Upaya (YBU) yang beraksi dalam Liga FAM, Sayuddin Mat Isa.

Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, memandangkan semua pegawai pasukan Perak termasuk Azraai kini digantung tugas, para pemain diminta melaporkan diri kepada Soper dan Sayuddin untuk menjalani latihan mulai Rabu ini.

"Pemain diminta menghormati kontrak dengan menjalankan latihan seperti biasa mulai Rabu ini walaupun Perak sudah menamatkan saingan musim ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Khairul Azwan semalam mengumumkan Pafa telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan kerana mengesyaki berlaku rasuah dalam pasukan itu.

Laporan itu dibuat ekoran kekalahan memalukan 1-6 kepada Sarawak dalam perlawanan Piala Malaysia di Kuching, Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...