Sumber: Harian Metro
Kuching: Jurulatih Sarawak, Robert Alberts menyalahkan permukaan padang tidak rata menjadi punca skuad bimbingan gagal menjaringkan gol sekali gus menyaksikan mereka terikat tanpa jaringan dengan Sime Darby pada suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Selayang, malam kelmarin.
Katanya keadaan rumput panjang menyebabkan pergerakan bola agak lambat, sekali gus menyukar pemain bergerak pantas.
“Keadaan padang menjadi punca pemain tidak dapat mempamerkan mutu permainan sebenar. Bagaimanapun, kami berpuas hati walaupun seri pada perlawanan ini.
“Keputusan seri ini adalah baik untuk pasukan kerana berjaya menyekat Sime Darby daripada menjaringkan sebarang gol.
“Sebelum ini mereka berjaya menewaskan pasukan lain dengan jaringan besar tapi mereka gagal menembusi gawang kami dan ini adalah peluang terbaik untuk menewaskan mereka di Kuching nanti,” katanya.
Menurut Alberts, pasukan menguasai separuh masa pertama sementara Sime Darby mempamerkan prestasi lebih baik pada separuh kedua.
“Bagaimanapun kami mempunyai beberapa peluang jaringan tetapi gagal mengambil kesempatan itu. Kami terlalu perlahan dalam serangan.
“Justeru, pemain perlu mengambil kesempatan sepenuhnya dalam perlawanan di tempat sendiri dan saya memberi jaminan akan mempamerkan corak menyerang,” katanya.
No comments:
Post a Comment