Sumber: Harian Metro
Kuantan: Penyerang Mohd Rozaimi Abd Rahman memberikan aksi ‘lepas geram’ apabila meledak dua gol untuk membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) membenam Thailand 3-0 pada perlawanan terakhir pusingan awal Pestabola Merdeka di Stadium Darul makmur, Kuantan malam tadi.
Rozaimi, 21, hanya beraksi selama tiga minit ketika Malaysia menewaskan Singapura 1-0 pada perlawanan pertama Sabtu lalu dan hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan ketika mencatat kemenangan 2-1 dengan Myanmar Isnin lalu.
Ternyata peluang yang diberikan jurulatih Ong Kim Swee menurunkan Rozaimi bagi menggantikan A Thamil Arasu yang digantung perlawanan digunakan sepenuhnya pemain kelahiran Bogawan, Sabah itu yang menyumbat gol pada minit ke-27 dan 80.
Malaysia yang sudah menempah tiket awal ke final menentang Myanmar, Sabtu ini memperoleh gol pertama menerusi Mohd Nasif Basharuddin pada minit ke-11.
“Saya tidak sangka dapat menjaringkan gol malam ini (semalam), saya hanya ingin membantu pasukan menang. Saya berharap dapat diturunkan pada perlawanan akhir nanti,” katanya yang muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol pada pusingan kelayakan Piala Asia B-22 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment