Monday, September 23, 2013

Jangan abai tanggungjawab

Sumber: Utusan Malaysia

PUTRAJAYA - Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan semua pemain The Red Warriors (TRW) agar memberi sepenuh hati dan tumpuan kepada pasukan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia 2013, biarpun sebahagian besar daripada mereka bakal berhijrah, musim depan.

Annuar sebelum ini mengakui, majoriti tonggak utamanya mahu beralih angin musim depan, malah ada beberapa pemain yang sudah menemuinya sendiri untuk menyuarakan mengenai hasrat meninggalkan pasukan.



Beliau tetap dengan pendirian untuk tidak menghalang pemain daripada pergi, namun itu tidak bermakna kesemua pemain tersebut boleh bersikap sambil lewa dalam kempen Piala Malaysia yang bakal memasuki peringkat suku akhir, minggu ini.

Kelantan, juara treblemusim lalu akan menentang Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada suku akhir pertama, Sabtu ini.

“Pada masa ini, semua pemain terlibat sedang mengadakan rundingan sama ada secara terang atau sembunyi.

“Pesanan saya kepada pemain berkenaan, walaupun mereka akan menerima tawaran tersebut, tetapi sekarang ini saya minta mereka menumpukan terlebih dahulu sehingga saingan Piala Malaysia tamat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-10 UniKL di sini, semalam.

Kelmarin, Kelantan mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia selaku juara Kumpulan C selepas membelasah Pahang 4-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Biarpun bakal kehilangan ramai tonggak penting, Annuar tetap melahirkan rasa bangga kerana banyak pasukan lawan yang mahu memancing pemain TRW untuk saingan musim depan.

Beliau berkata, senario itu menunjukkan keberkesanan pelan pembangunan pemain yang digunapakai oleh KAFA selama ini.

‘‘Pemain yang saya ambil dahulunya bernilai sekitar RM3,000 hingga RM4,000 tetapi sekarang ini, nilai mereka sudah melebih RM30,000 hingga RM40,000.

‘‘Sudah tentu, kita galakan mereka menerima tawaran itu dan KAFA sendiri sudah bersedia untuk terima situasi tersebut," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...