Wednesday, September 25, 2013

Sundra mungkin latih Negeri Sembilan

Sumber: Harian Metro

Seremban: Negeri Sembilan dijangka mempunyai ketua jurulatih baru dengan pengendali LionsXII, V Sundramoorthy menjadi pilihan utama bagi menggantikan Divaldo Alves yang disingkirkan Jun lalu.

Sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) bagaimanapun tidak dapat memperincikan perkara itu kerana perbincangan sedang dijalankan antara kedua-dua pihak selain Sundramoorthy masih mempunyai tugas dengan LionsXII yang mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.



“Tapi, Sundramoothy dijangka datang ke sini (Seremban) dan memulakan tugas sebaik berakhirnya Piala Malaysia,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, PBNS akan membuat rombakan besar-besaran bagi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas prestasi mengecewakan musim ini.


Ini berikutan sebahagian besar pemain skuad berkenaan bakal menamatkan kontrak sebaik kempen musim ini berakhir awal November nanti, selain bagi membentuk skuad lebih mantap untuk membawa kembali pasukan ke Liga Super musim 2015.


“Sebahagian besar pemain musim ini bakal tamat kontrak sebaik kempen Liga-M kali ini berakhir. Ada kalangan mereka tidak ditawarkan kontrak baru selain ada yang tidak berminat untuk terus bersama Negeri Sembilan kerana mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain.

“Justeru kita terpaksa membuat rombakan besar-besaran dengan mengambil beberapa pemain lain yang berminat menyarung jersi Negeri Sembilan.


“Biarpun akan beraksi dalam Liga Perdana usaha membentuk satu pasukan mantap penting bagi membolehkan kita dapat bersaing dan kembali ke Liga Super musim 2015,” kata sumber itu.

Antara pemain yang bakal tamat kontrak ialah Mohd Alafi Mahmud, Shahurain Abu Samah, Kaharuddin Abdul Rahman, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Nazrin Mohd Nawi.


Shahurain dan Mohd Nazrin dijangka menyertai pasukan FELDA United FC dan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada musim depan selepas dikatakan mendapat tawaran gaji lebih baik daripada pasukan terbabit.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...