Wednesday, July 11, 2012

Wan Zack, Zaharulnizam tekad beri aksi terbaik


Harian Metro

PEMAIN muda negara, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor mengatur langkah pertama dalam memburu cita-cita besar untuk bertapak dalam kancah bola sepak Jepun apabila bertekad untuk memberikan aksi terbaik pada ujian percubaan dengan kelab Divisyen 3, FC Ryukyu.

Kedua-dua tonggak Harimau Muda A itu akan berlepas ke Jepun awal pagi esok untuk menjalani ujian bersama kelab yang berpangkalan di Okinawa itu selama dua minggu.

Selepas berjaya memikat ejen pencari bakat Japan Dream FA, Masao Kiba menerusi aksi pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Tosu, Jepun September tahun lalu, ini masanya untuk Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal membuktikan pemilihan bekas kapten Gomba Osaka itu tepat.

Jika berjaya dalam tempoh percubaan itu, mereka berpeluang untuk menempa nama selaku pemain Malaysia pertama beraksi di negara kuasa besar bola sepak Asia, Jepun.

“Saya ke sana bukan hanya suka-suka tapi mahu beraksi dengan kelab itu. Setakat ini saya tidak dimaklumkan lagi mengenai program sepanjang berada di sana tapi saya sudah membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.


“Mungkin ada yang cakap Ryukyu hanya kelab Divisyen Tiga tapi bagi saya liga Divisyen Tiga Jepun tetap kompetitif dan berbeza dengan liga kita,” kata Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai Kecik.

Wan Zaharulnizam, 21, yang memiliki kepantasan beraksi di posisi sayap kiri berkata, dia bersemangat untuk berhijrah ke luar negara selepas mendapat dorongan jurulatih Ong Kim Swee dan ahli keluarganya.

“Ini kali kedua saya ke Jepun, sebelum ini ke sana ketika bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun. Saya berharap usaha kami berdua ini berjaya,” katanya yang kini bebas daripada masalah hamstring.

Semangat itu turut dikongsi bersama, pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal, 21, yang tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan Ryukyu.

“Impian memang nak bermain di peringkat lebih tinggi tapi biarlah saya melangkah dari bawah. Ini peluang untuk saya menimba pengalaman dan Insya Allah kalau ada rezeki boleh bermain dalam Liga Jepun,” katanya yang pernah dipinjamkan ke kelab Slovakia, Zlate Moravce tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...