Thursday, July 19, 2012

Mandjou, Dadic tonik baru skuad Kijang


Harian Metro

THE Red Warriors mendapat tonik baru apabila mengikat kontrak dua pemain import baru, Keita Mandjou dari Guinea dan Mijo Dadic dari Crotia bagi memantapkan posisi tengah dan pertahanan Kelantan untuk menghadapi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) peringkat suku akhir September ini.

Malah, kehadiran Mandjou yang memenangi kasut emas ketika bersama Perak pada musim 2005/ 2006 dan 2006/2007 di Kota Bharu, cukup ditagih pengurusan pasukan Kelantan terutama bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan lima bintang, Queen Parks Rangers (QPR) di Stadium Shah Alam, malam esok.



Pemain berusia 33 tahun itu teruja beraksi dengan Kelantan yang kini muncul sebagai juara Liga Super dua tahun berturut-turut dan tidak sabar menanti aksi pertama membantu The Red Warriors berdepan QPR .

Dia juga percaya mampu menyesuaikan diri bersama dengan pemain Kelantan kerana sudah ada pengalaman beraksi dengan Perak dari 2004 hingga 2007.


Malah, Keita juga sudah mengenali pemain tempatan antaranya Indraputra Mahyuddin, Norsharul Idlan Talaha, Mohd Daudsu Jamaluddin, Norfarhan Mohamad dan S Subramaniam yang kini beraksi dengan pasukan Kelantan.


“Saya berjanji untuk tampil dengan aksi terbaik yang memberi peluang kepada saya kembali beraksi dalam Liga M. Saya lihat Kelantan adalah pasukan terbaik dalam saingan Liga Super untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya sudah bersedia untuk diuji dalam sesi latihan serta perlawanan persahabatan dengan QPR nanti,” katanya pada sidang media pengumuman cabaran sepakan penalti merebut piala tajaan Kumpulan Sentosa di Kafe The Red Warriors, Kota Bharu.


Majlis pengumuman cabaran sepakan penalti antara pasukan Kelantan dan QPR itu dilakukan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...