JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee sedang mengintai untuk memanggil sekurang-kurangnya lima pemain dari pasukan negeri dan kelab tempatan bagi memperkuatkan pasukannya untuk menghadapi kejohanan jemputan Piala Java yang akan berlangsung di Jakarta pada 26-29 Julai ini.
Langkah itu diambil memandangkan beliau kini kehilangan tonggak utama iaitu Muhammad Nazmi Faiz Mansor ke kelab Portugal S C Beira-Mar, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang menjalani ujian percubaan di FC Ryukyu, Jepun.
Malah selain masalah kecederaan, skuad itu juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Mahali Jasuli dan Mohd Fadhli Shas yang mempunyai komitmen bersama pasukan kebangsaan.
Pada kejohanan itu, anak buah Kim Swee akan berdepan kelab gergasi Turki, Galatasaray dan jika menang mereka akan bertemu pemenang antara Indonesia dan kelab Liga Perdana Inggeris, Everton di final.
“Kita akan berdepan Galatasaray, sebuah kelab yang mempunyai reputasi baik di Eropah. Jadi saya perlu menyediakan sebuah pasukan yang mampu menyaingi pasukan ini biarpun ketika ini beberapa pemain utama terpaksa saya ketepikan.
“Saya bercadang untuk memanggil pemain luar dari Harimau Muda A untuk memperkuatkan pasukan ini. Paling penting pemain luar ini dapat membantu di bahagian pertahanan dan serangan,” katanya.
Sebelum ini Kim Swee berjaya menggabungkan pemain muda dan senior ketika aksi persahabatan menentang Chelsea tahun lalu yang menyaksikan skuad negara tewas tipis menerusi gol kontroversi penyerang Didier Drogba di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemain senior yang dipanggil ketika itu adalah penyerang Hairuddin Omar dan Amri Yahyah, pemain tengah Shahrulnizam Mustapha, pertahanan S Subramaniam dan Norhafiz Zamani Misbah, penjaga gol Farizal Marlias.
No comments:
Post a Comment