KETIKA dua pemain pinjaman dari pasukan Liga Perdana sudah sah milik Johor FC bagi menghadapi saingan Piala Malaysia, perkhabaran pemain import Arthur Henrique masih belum pulang dari Brazil untuk menjalani latihan mengundang resah buat jurulatih Sazali Saidon.
Tanpa Henrique yang beraksi di posisi serangan pasti menyukarkan bekas pemain Johor itu mencari kombinasi terbaik mengemudi jentera itu tatkala saingan Piala Malaysia lebih mencabar berbanding saingan Liga Super.
“Johor FC sudah mengesahkan untuk menggunakan khidmat Mohd Aizulridzwan Razali yang beraksi untuk kelab Pos Malaysia FC dan Mohd Akmal Mohd Noor dari pasukan USM FC dan saya mengambil keputusan meminjam kedua-dua pemain itu bagi menguatkan posisi bek kiri dan tengah.
“Saya agak lega selepas tonggak utama Ahmad Fauzi Shaari dan Eddy Helmi Manan sudah mula pulih dari kecederaan malah tahap kecergasan mereka sudah mencapai 70 peratus manakala Mohd Zamri Chin juga sudah mula menunjukkan peningkatan kerana turut cedera.
“Ketiadaan Arthur (Henrique) yang masih belum pulang untuk menjalani latihan agak meresahkan kerana saya kesuntukan masa membuat persiapan yang berbaki tiga minggu lagi sebelum saingan Piala Malaysia bermula dan berharap pengurusan kelab dapat mendapatkan khidmat pemain itu,” katanya.
Sazali juga sudah merangka beberapa siri perlawanan persahabatan bagi persiapan kempen piala berprestij itu dengan Sarawak yang sudah mengesahkan aksi di Stadium Pasir Gudang, 8 Ogos ini manakala beberapa lagi pasukan bakal menyusul sebaik undian Khamis ini.
“Kita akan lihat pasukan mana yang bukan satu kumpulan dengan Johor FC dan akan merancang aksi persahabatan sebagai persiapan terakhir sebelum saingan Piala Malaysia,” kata Sazali.
No comments:
Post a Comment