Friday, July 13, 2012

FAM setuju serah trofi Liga Super di Kota Bharu


Harian Metro

PENYOKONG Kelantan boleh berpesta meraikan kejayaan pasukan mereka menjulang trofi Liga Super di gelanggang keramat, Stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu esok apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju menyerahkan trofi itu selepas tamat perlawanan Kelantan dengan Sarawak.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM semalam selepas menilai surat rayuan yang dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Selasa lalu.


Ini pastinya perkhabaran gembira buat penyokong The Red Warriors yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang mahu mengadakan majlis penyerahan trofi Liga Super di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 20 Julai depan.

Selain itu ATM yang menjuarai Liga Perdana juga berpeluang mempamerkan trofi kejuaraan di depan penyokong sendiri malam ini sebaik tamat perlawanan terakhir menentang Pos Malaysia di Stadium Selayang.

Menurut Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan itu dibuat atas dasar prihatin dengan rayuan yang dikemukakan oleh Kafa.

“Atas dasar prihatin, FAM bersetuju membenarkan Kelantan dan ATM menjulang trofi juara Liga Super dan Liga Perdana selepas perlawanan terakhir mereka. Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah akan menyerahkan trofi Liga Super di Kota Bharu manakala Datuk Subahan Kamal akan menyerahkan trofi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Bagaimanapun hanya penyerahan trofi dan pingat diberikan pada majlis itu kerana wang ganjaran kepada pasukan serta anugerah penjaring terbanyak Liga Super dan Liga Perdana akan diserahkan di Wisma FAM, jam 3 petang Jumaat depan,” katanya.

Sementara itu, Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan berjaya mengikat kontrak pemain muda Sabah, Rozaimi Abd Rahman secara pinjaman untuk mengharungi kempen Piala Malaysia September depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...