Monday, July 30, 2012

Sasar aksi akhir


Harian Metro

BAHANG Piala Malaysia semakin dirasai T-Team yang perlu mengulangi kecemerlangan musim lalu untuk kekal menjadi pasukan tajaan kerajaan negeri Terengganu.

Sekiranya pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu mampu layak ke separuh akhir seperti musim lalu, prestasi hambar mereka dalam saingan Piala FA dan Liga Super mungkin bukan menjadi faktor lagi.



Ketua jurulatih, Yunus Alif, berkata pasukan menerima amaran daripada pihak kerajaan negeri selepas gagal menyerlah dalam liga dan Piala FA walaupun pencapaian tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Kalau tahun sebelumnya kami terkeluar di pusingan pertama Piala FA, kali ini kami kecundang di suku akhir dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan tahun ini berbanding di tangga kesembilan musim lalu.

“Namun, prestasi kami musim ini cuma dapat ditentukan selepas pertandingan Piala Malaysia dan kami berjanji akan mencuba sedaya-upaya untuk membaiki rekod supaya kali ini layak ke perlawanan akhir,” katanya.

Katanya, skuad Piala Malaysia T-Team dijangka akan menjadi lebih mantap dengan kehadiran pemain tengah, Shahrul Azhar Ture dan pemain pertahanan kiri, Sumardi Hajalan, yang berjaya dipinjam dari Sabah.

Selain dua pemain itu, penyerang Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzi Abdul Majid, juga sudah bersetuju untuk dipinjamkan kepada T-Team dan akan menyertai pasukan itu minggu depan.

“Piala Malaysia kali ini boleh menjadi milik mana-mana pasukan kerana kualiti bola sepak pasukan yang bertanding, termasuk pasukan daripada Liga Perdana seperti Pahang, Sime Darby dan Johor tidak jauh bezanya.

“Walaupun kami tahu semua pasukan bertanding kuat belaka, kami berharap dapat berada dalam kumpulan yang kurang sengit saingannya apabila undian Piala Malaysia diadakan Khamis ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...