MEMILIKI tiga penyerang yang berstatus penjaring terbanyak dalam saingan liga musim ini harus meletakkan Negeri Sembilan di landasan terbaik dalam misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
Khairul Izuan Abdullah, menjaringkan 27 gol dalam saingan Liga Perdana manakala Jean-Emmanuel Effa Owona dan Ahmad Shakir Md Ali, masing-masing dengan 15 dan 10 gol dalam saingan Liga Super.
Kehadiran mereka dalam pasukan itu harus melengkapkan barisan depan yang lebih mantap bagi skuad Hoben Jang Hoben, kali ini.
Khairul Izuan dari PDRM adalah pemain pinjaman bagi memperkukuhkan pasukan dan pemain berkenaan sudah mula menjalani latihan bersama skuad itu, Rabu lalu.
Bagi ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, persetujuan pemain berkenaan untuk bersama Negeri Sembilan nyata melegakannya dalam usaha merangka strategi terbaik membentuk gandingan barisan depan yang lebih mantap.
Pengendali berpengalaman itu mengakui pemenang kasut emas itu memiliki skil permainan yang baik selepas menyaksikan aksinya dalam perlawanan persahabatan menentang RAMD Melaka, di Paroi, malam kelmarin, yang berkesudahan Negeri Sembilan menang 1-0.
Katanya, sekalipun baru tiga hari menjalani latihan, terdapat keserasian antara Khairul Izuan dengan Mohd Firdaus Azizul yang diturunkan dalam aksi itu susulan ketiadaan Jean-Emmanuel Effa Owona yang bercuti.
“Ada ruang untuk membentuk barisan depan mantap antara kedua-dua penyerang itu namun ia masih terlalu awal dan kita akan terus mengujinya dalam latihan dan pelawanan persahabatan lain selepas ini.
“Malah Khairul akan diuji bergandingan dengan Effa sekembali pemain itu Selasa ini (esok). Kita berharap barisan depan pasukan bakal lebih menyerlah sebaik cabaran saingan Piala Malaysia bermula nanti,” katanya semalam.
Menurut Azraai, pihaknya terpaksa menggunakan sepenuhnya pemain yang ada berikutan ramai anak buahnya yang terbabit dengan skuad kebangsaan yang membabitkan Ahmad Shakir, S Kunalan, Shahurain Abu Samah dan Mohd Farizal Marlias.
No comments:
Post a Comment