Saturday, July 28, 2012

Kuala Lumpur tagih simpati



KUALA LUMPUR - Hanya satu cara sahaja dapat membantu Kuala Lumpur meneruskan perjalanan di saingan Liga Perdana musim hadapan, iaitu mengharapkan bantuan kewangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaikan sudah mati akal, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Astaman Abdul Aziz  mengakui hanya itu sahaja cara boleh dilakukan dalam masa terdekat bagi membayar tunggakan gaji para pemain yang sudah berlarutan tiga bulan.

''Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin ada memberitahu kepada saya mahu membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh KLFA.


''Kini semuanya bergantung sejauh mana bantuan yang akan diberikan oleh beliau dan saya harap masalah ini akan segera berakhir," katanya.

Selain daripada itu, Astaman turut mengharapkan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru dilantik, Datuk Ahmad Phesal Talib berbesar hati menghulurkan kewangan kepada KLFA.

''Satu lagi cara adalah melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah mendapat datuk bandar baru pada bulan lepas iaitu Datuk Ahmad Phesal.

''Saya harap beliau tidak keberatan membantu meringankan masalah yang sedang dihidapi oleh kami kerana DBKL sentiasa membantu bola sepak Kuala Lumpur sejak dulu lagi, " katanya lagi.

Skuad warga kota berdepan situasi kritikal selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan KLFA sudah tidak membayar gaji pemainnya melebihi dua bulan dan berdepan tindakan digantung bermain di Liga Malaysia musim depan jika gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM, minggu lalu dan tidak menolak kemungkinan nama Kuala Lumpur mungkin tiada lagi dalam saingan Liga Malaysia 2013.

Mengikut peraturan sedia ada, mana-mana pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain melebihi dua bulan wajar dikenakan penggantungan daripada bermain namun FAM dilihat sedikit berlembut dalam hal itu.

Malah, Hamidin bertindak menjadi orang tengah menemui wakil DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Sukan Malaysia XV Pahang bagi mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...