Tuesday, July 31, 2012

City terlalu unggul buat Malaysia



KUALA LUMPUR - Status Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ternyata amat berat untuk dihadapi oleh skuad kebangsaan apabila tewas 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Anak buah Datuk K. Rajagobal harus mengakui City lebih bertenaga dan mempunyai kelebihan dari segi fizikal sehingga tidak mampu untuk menyekat Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Adam Johnson mencatat nama sebagai penjaring gol.


Aksi separuh masa pertama jelas dikuasai anak buah Roberto Mancini dan 52,000 penonton menjadi saksi bagaimana skuad kebangsaan gagal mempamerkan corak permainan yang sama ketika mereka tewas tipis 1-2 kepada Arsenal, Selasa lalu.

Aguero memecah kebuntuan jaringan dan menghukum kealpaan benteng pertahanan Malaysia apabila melakukan gerakan solo sehingga ke dalam petak penalti sebelum menolak bola masuk ke dalam gawang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-17.

Tiga minit selepas rehat, City menambah gol menerusi Tevez diikuti dengan gol ketiga Johnson pada minit ke-51.

Selepas itu perlawanan agak hambar ekoran kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran sehinggalah pada minit ke-87 pemain gantian Malaysia, Azamuddin Mohd. Akil berjaya menjaringkan gol saguhati selepas melakukan rembatan dari dalam petak penalti sebaik sahaja menerima hantaran Mahali Jasuli.

Selepas perlawanan semalam pasukan kebangsaan akan berangkat ke Austria Sabtu ini dan berada di negara Eropah itu selama seminggu untuk menjalani latihan serta mengadakan perlawanan persahabatan di sana.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...