Thursday, May 15, 2014

Tagih 12 pemain luar: Kim Swee

SUmber: Harian Metro
Kelana Jaya: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee menagih khidmat sekurang-kurangnya 12 pemain luar untuk bergabung dengan pemain Harimau Muda A bagi melakukan persiapan rapi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September ini.


Ketika ini pengendali berusia 43 tahun itu sudah mempunyai senarai awal pemain untuk dipanggil menyertai Harimau Muda A yang kini berada di Gold Coast, Australia iaitu Wan Zaharulnizam Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor dari Kelantan, Junior Eldstal, Ashri Chuchu (Sarawak), Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi, Mohd Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri, A Thamil Arasu, Mohd Nazmi Faiz Mansor (Selangor) dan Mohd Syahid Zaidon (FELDA United). 
Menurutnya, cadangan itu sudah mendapat persetujuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kesemua pemain dijangka mengadakan latihan bersama serta mengharungi beberapa perlawanan persahabatan bermula 3 atau 4 Julai selama hampir sebulan. 

“Saya harap dapat mengumpul semua pemain untuk mengadakan latihan bersama dengan pemain Harimau Muda A yang akan saya pilih ke Sukan Asia bermula awal Julai.

“Program ini penting kerana kesemua pemain perlu menjalani latihan bersama untuk membentuk keserasian dan di sana saya dapat menguji permainan dan taktikal pasukan.

“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk memanggil mereka memandangkan pada tempoh itu liga berehat sementara menunggu kempen Piala Malaysia bermula,” katanya. 

Ketika ini skuad Harimau Muda A yang sebahagian besar pemainnya bakal mewakili skuad B-23 negara berkampung di Gold Coast bagi mengharungi Liga Perdana Kebangsaan Queensland dan mereka tidak mempunyai perlawanan liga pada Julai. 

Selain 12 pemain luar itu, Kim Swee juga boleh menyenaraikan tiga pemain berusia lebih 23 tahun ke Sukan Asia namun ketika ini masih terlalu awal untuk beliau memilih pemain senior itu. 

“Saya sudah mendaftar ramai pemain senior untuk ke Sukan Asia dan hanya boleh membawa tiga pemain saja bersama skuad. Mungkin saya akan memilih seorang pemain bagi posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...