Friday, May 9, 2014

Bukan angkara FAM: Hamidin

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: “Bukan salah FAM! Itu nada tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menafikan mereka menjadi punca kegagalan Kelantan mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk penyerang import baru Prince Tagoe.
Menurut Hamidin, dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam seperti disiarkan dalam akhbar tempatan semalam tidak benar sama sekali kerana badan induk itu sudah menguruskan proses mendapatkan ITC Tagoe daripada kelab lamanya Club Africain dengan mengikut prosedur ditetapkan. 


“Saya menafikan kami punca Kelantan gagal mendapatkan ITC untuk Tagoe. Kami sudah hantar permohonan mendapatkan ITC, tapi ditolak kelab lamanya dan persatuan bola sepak Tunisia. 

“Bukan salah FAM, kami sudah lakukan yang terbaik untuk membantu Kelantan mendapatkan ITC, tapi malangnya permohonan itu ditolak. Malah hari ini (semalam) Kevin ada datang bertemu dengan saya untuk meminta maaf kerana kenyataannya itu.


“Saya harap tiada lagi pihak membuat kenyataan melulu terhadap FAM. Sebagai badan induk sudah pasti kami akan sedaya upaya membantu dan melindungi kepentingan pasukan negara ini,” katanya.


Kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan ITC untuk menggunakan khidmat bekas penyerang skuad Piala Dunia Ghana, Tagoe bagi baki kempen Liga Malaysia musim ini didedahkan dalam Arena Metro semalam menerusi maklumat diberikan Kevin. 

Beliau mendakwa, mereka boleh mendapat ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya FAM menangguhkan dulu kes itu dan tidak menerima penolakan permohonan Tunisia FA. 

Tanpa ITC, Kevin mengakui kemungkinan besar mereka terpaksa menamatkan kontrak Tagoe, 28, lebih awal selepas kemelut itu timbul berikutan tuntutan gaji tertunggak pemain dengan Club Africain yang berjumlah hampir RM1 juta. 

Hamidin berkata, mereka sudah menerima permohonan KAFA untuk mendaftarkan semula pemain pertahanan Obinna Nwaneri yang ditamatkan pendaftaran pada tempoh perpindahan pemain kedua April lalu bagi mengisi tempat Tagoe. 

“Kelantan sudah membuat permohonan rasmi untuk mendaftarkan semula Obinna memandangkan pemain itu masih mempunyai ITC. Perkara ini akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...