Friday, May 23, 2014

‘Wajib bayar yuran!’

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam berpendapat isu kontrak pemain perlu diteliti semula Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang penswastaan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.
Katanya, antara penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah mewajibkan pasukan mengenakan yuran perpindahan ke atas pemain yang masih mempunyai kontrak bagi menyertai pasukan lain.

“FAM sudah mengambil inisiatif dalam penswastaan liga dan ini satu langkah baik cuma beberapa perkara perlu juga diteliti antaranya dari segi aspek kontrak pemain. Bagi saya yuran perpindahan pemain perlu diwajibkan di Malaysia. “Pasukan yang mahu mendapatkan pemain masih mempunyai kontrak dengan pasukan lain perlu mengikut harga ditetapkan sesebuah pasukan itu dan bukannya sekadar membayar pampasan baki kontrak. “Kalau tidak ada yuran perpindahan, tidak ada pemain yang dibeli dengan harga 80 juta pound (RM433 juta),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kenyataan Kevin itu nyata menyambut baik cadangan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad yang menggesa supaya FAM mengkaji semula peraturan untuk membolehkan pasukan boleh mengenakan yuran perpindahan ke atas pemain ke pasukan lain.
Dalam laporan Arena Metro semalam, Mokhtar yang bakal bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada Kongres Pemilihan FAM ke-50 Ahad ini membangkitkan mengenai isu ini bagi memastikan mana-mana pasukan dapat meraih keuntungan hasil penjualan pemain ke pasukan lain.

Kevin berkata, berdasarkan peraturan sekarang, FAM hanya menetapkan pampasan mengikut baki kontrak pemain dan sepatutnya badan induk itu mengkaji membenarkan pasukan menetapkan harga mengikut nilai pemain.

“Kita perlu ada ‘protected period’ dalam kontrak. Sebagai contoh kalau pemain mengikat kontrak lima tahun, ‘protected period’ adalah tiga tahun dan dalam tempoh itu pengurusan pasukan tidak perlu melayan tawaran pasukan lain. “Jika pemain memasuki baki dua tahun terakhir, barulah pemain itu boleh membincangkan mengenai kontrak baru dengan pasukannya atau menimbang tawaran pasukan lain,” katanya.

1 comment:

  1. Setuju... Patutla jdt mampu beli pemain.. Beli murah.. Gaji mhal.. Kt ctu da leh cut cost..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...