Sumber: Harian Metro
Seremban: Negeri Sembilan menyandarkan harapan tinggi kepada gandingan penyerang import Ivan Babic dan Kim Jin Ryong untuk membenam cabaran Kedah pada saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Selepas diaibkan Sabah di gelanggang sendiri minggu lalu, skuad Hoben Jang Hoben mahu memastikan impian meraih tiga mata tidak tersasar dengan ketangkasan dua import berkenaan menjadi sandaran.
Biarpun persiapan sedikit terjejas apabila pemain berpengalaman, Abdul Halim Zainal dan S Sivanesan tidak dapat beraksi kerana penggantungan dan kecederaan, skuad bimbingan V Sundramoorthy itu mampu menurunkan barisan terbaik.
Pengurus pasukan Datuk Abdul Ghani Hasan mengakui ketiadaan Abdul Halim dan Sivanesan memberi kesan kepada kekuatan pasukan, namun berharap pemain lain dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Menurutnya, pemain Negeri Sembilan perlu menjadikan kekalahan kepada Sabah sebagai pengajaran dengan tidak mengulangi kesilapan dan bijak memanfaatkan setiap peluang.
“Kemenangan malam esok penting bagi menyekat peluang Kedah memintas kerana kami kini hanya dibezakan dengan satu mata.
“Saya berharap pemain berusaha memberikan persembahan terbaik dan sentiasa fokus,” katanya.
Abdul Ghani mengakui Kedah memiliki kewibawaan namun ia tidak harus memberi tekanan kepada Negeri Sembilan kerana kelebihan berpihak kepada tuan rumah.
“Yang penting pemain harus memiliki keyakinan diri tinggi dan bijak mengawal permainan dengan tidak memberi ruang kepada lawan. Saya percaya Sundramoorty sudah merangka strategi untuk memerangkap Kedah,” katanya.
No comments:
Post a Comment