Sumber: Harian Metro
Kuantan: Imej Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk pemimpinnya akan tercalar jika peraturan Artikel 88 dimansuhkan kalau tujuan utamanya hanya untuk memberi peluang kepada individu tertentu mengeluarkan kenyataan secara terbuka.
Walaupun artikel berkenaan dilabel sebagai lapuk dan tidak sesuai digunakan, demi menjaga maruah badan induk bola sepak negara, peraturan itu dianggap masih sesuai dikekalkan.
Bekas pemain bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kewujudan Artikel 88 bertujuan memastikan individu yang berada dalam FAM tidak sesuka hati mengkritik badan induk itu tanpa menggunakan saluran disediakan.
“Jika Artikel 88 dimansuhkan terus, pihak yang celupar mulut akan sesuka hati mengeluarkan kenyataan setiap kali timbul rasa tidak puas hati. Setiap kali tidak puas hati, mereka akan keluarkan kenyataan di media bagi memburukkan FAM.
“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam hal ini tapi jika artikel berkenaan tidak ada, imej FAM akan tercalar setiap kali ada pihak yang kecewa membabitkan pelbagai perkara seperti prestasi pasukan negara, pengadil dan barisan pemain,” katanya.
Beliau mengulas janji Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan menggugurkan Artikel 88 jika dilantik sebagai Presiden FAM pada pemilihan Ahad ini.
Jamal Nasir berkata, semua pihak boleh menabur pelbagai janji manis hanya semata-mata ingin menarik perhatian individu lain, tetapi persoalannya adakah perkara yang diutarakan itu sesuai atau sebaliknya.
“Saya lihat janji Tunku Ismail tidak lebih sebagai usaha meraih sokongan ahli gabungan untuk mengundinya mengisi jawatan sebagai Presiden FAM. Usaha yang dilakukan itu baik, tetapi tidak sesuai dijadikan modal menggamit perhatian perwakilan.
“Kita bukan berada di zaman koboi yang tidak perlu berbincang untuk membuat keputusan,” katanya.
“Saya yakin Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah saja yang layak mengisi jawatan berkenaan, pengalaman dan sokongan ahli gabungan menjadi kelebihan kepada beliau yang kini dilihat lebih senang berdiam diri dengan memerhati gerak langkah lawan,” katanya.
No comments:
Post a Comment